"Dah 2023 Pun Ada Tweet Limit Lagi?" - Elon Musk Hadkan Jumlah Tweet Untuk Pengguna

TERKINI
July 03, 2023 - 11:01 AM


Sejak dua hari lalu semua orang berasa hairan kenapa timeline Twitter tak boleh nak baca dan tengok ciapan-ciapan lain. Sehinggalah pemiliknya, Elon Musk memaklumkan yang Twitter kini memperoleh akses terbatas sementara untuk membaca kandungan dalam akaun media sosial itu.

Menurut Musk, dia mencadangkan supaya para pengguna tidak boleh lagi melihat ciapa tanpa had, sebaliknya para pengguna hanya boleh membaca ciapan dengan jumlah tertentu sahaja. Ini bagi menyelesaikan masalah pengikisan data (data scraping) dan manipluasi sistem yang melanda Twitter sekarang.

"Data kami dirompak sehingga menjejaskan perkhidmatan kami" ciap Musk. Langkah terbaharu yang diambil Twitter itu digambarkan beliau sebagai 'tindakan darurat sementara'.

Twitter akan mengehadkan jumlah ciapan yang boleh dibaca kepada 6000 sahaja sehari untuk akaun yang sah (verified account), 600 untuk akaun yang tidak sah (unverified account) dan 300 sahaja untuk akaun tidak sah yang baru dicipta.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan maksud di sebalik manipulasi sistem dalam konteks ini. Pemindahan data secara relatifnya merujuk kepada proses maklumat yang diambil dari sesebuah laman web dipindahkan ke program lain.

Selepas menerima pelbagai reaksi kecewa dan marah pengguna, tidak lama kemudian had pembacaan ciapan itu dinaikkan kepada 10,000 sehari untuk akaun yang sah, 1,000 untuk akaun tidak sah dan 500 untuk akaun yang baru dicipta.

Pelbagai reaksi negatif yang diterima Musk, dengan ramai mengatakan ia bakal menjejaskan jumlah pengguna Twitter kerana pengguna kini tidak boleh lagi meluangkan masa yang banyak dalam media sosial itu. 

Jelas kecewa dengan tindakan itu, ramai pengguna bengang dan menganggap ini sebahagian daripada 'marketing' untuk pengguna melanggan Twitter Blue untuk mengelakkan pembacaan mereka terhad.

Dilabel dengan tanda biru (blue-tick), status akaun tersebut diberikan secara percuma kepada pemiliknya sebelum Musk mengambil alih pemilikan Twitter.

Namun kini sebahagian besar daripada pengguna harus membayar langganan bermula RM37 sebulan untuk dapatkan status verification account.