
"Kalau Buta Anak Saya, Siapa Nak Tanggung?" - Bapa Berang Anak Dirotan Teruk, Kantoi Vape Masa Kelas
TERKINIKetagihan terhadap rokok konvensional atau rokok elektronik adalah satu masalah serius dalam masyarakat kita. Terbaharu, seorang bapa dikejutkan dengan berita bahawa anaknya telah dirotan sehingga cedera. Apa sebab anak dirotan?
Pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang mendakwa mengalami pendarahan di mata kanan akibat dirotan seorang guru hari ini.
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) September 14, 2023
Bapa mangsa mendakwa anaknya dirotan atas kesalahan menghisap rokok elektronik di dalam kelas.#malaysiagazette #mgnews… pic.twitter.com/bAJSgud0x9
Mazni Mohamad, 47, berkata anak lelakinya yang merupakan pelajar tingkatan lima ditangkap ketika menghisap vape di dalam kelas ketika guru Sains sedang mengajar.
“Anak saya kemudian dibawa kepada seorang ustaz yang dikatakan pembantu guru disiplin untuk tindakan lanjut.
“Anak saya disoal siasat sebelum guru disiplin berkenaan mendakwa dia menipu dan bertindak merotannya.
“Bagaimanapun, rotan tersebut terkena pada bahagian mata kanan sekali gus menyebabkan dia mengalami pendarahan,” katanya.
Guru berkenaan sedar tindakannya mengakibatkan kecederaan selepas anaknya mengadu kesakitan. Pihak sekolah kemudian membawanya ke klinik serta Hospital Balik Pulau untuk rawatan susulan.
Mengulas lanjut, Mazni meluahkan kebimbangan jika berlaku perkara yang tidak diingini akibat tindakan guru terbabit.
“Jika ditakdirkan buta mata anak saya ini, siapa yang nak bertanggungjawab? Saya tahu anak saya buas (nakal) tapi janganlah hukum dia sampai macam tu sekali
“Nak hukum pelajar di sekolah ada hadnya,” ujarnya.
Katanya, buat masa ini keadaan anaknya stabil namun memerlukan pemantauan selama lima hari sebelum doktor memutuskan rawatan lanjut.
Susulan kejadian itu, Mazni akan membuat laporan polis selain dia dan isteri akan berjumpa dengan pihak sekolah untuk mendapatkan penjelasan lanjut.