"Kejadian Aneh 5 Tahun Sekali" - Siapa Calon Terpaling Menang Main Wayang Jadi Rakyat Marhaen?
TERKINIBerbaki seminggu lagi, calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mula bertungkus lumus menggunakan pelbagai strategi untuk menawan hati pengundi.
Sudah pasti gelagat dan keletah calon ahli Parlimen sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari itu mendapat perhatian masyarakat umum sehingga menjadi bahan bualan di media sosial.
Rata-rata netizen mula bertindak 'nakal' dengan mengumpulkan koleksi gambar calon bertanding mempamerkan bakat 'luar biasa' dan jarang-jarang dilakukan mereka sebagai Ahli Politik, VIP atau Menteri.
Netizen turut menyifatkan kejadian "aneh-aneh" itu hanya berlaku 5 tahun sekali terutamanya apabila tiba musim PRU.
Jom kita usha siapa calon bertanding yang gigih dan terpaling hebat dalam 'lakonan wayang' mereka!
1) LIM GUAN ENG
Tular beberapa keping gambar memaparkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng makan bersama penduduk tempatan dalam satu program baru-baru ini.
"Sejuk hati kami semua tengok LGE (Lim Guan Eng) duduk bersila makan bersama penduduk tempatan, boleh sama-sama menikmati hidangan halal bersama rakyat lima tahun sekali," kata Acap.
"Kadang-kadang terfikir kenapa hanya lima tahun sekali bukan hari-hari. Mungkin ini satu strategi nak tawan hati pengundi," jelas Azila.
"Harap tak menggigil kaki bila nak bangun nanti sebab selalu duduk atas kerusi, tiba-tiba nak kena bersila. Yang ada masalah lutut selalu faham," kata Ilyas.
Lim Guan Eng akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan yang disandangnya.
2) TENGKU ZAFRUL
Rata-rata netizen terhibur dengan gelagat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang bertukar profesion menjadi mekanik ketika berkempen baru-baru ini.
"Serba boleh Menteri Kewangan kita, bukan sahaja mahir dalam bidang kewangan malah mampu tukar minyak motosikal," kata Farizan.
"Bila sampai waktu pilihan raya, semua ahli politik tiba-tiba mahir buat macam-macam. Tapi bila dah menang, rakyat pula terhegeh-hegeh," luah Dira.
"Waktu berkempenlah kita nampak mereka bersungguh-sungguh. Harap diteruskan juga selepas pilihan raya supaya terus dapat kepercayaan rakyat," jelas Wakmal.
Tengku Zafrul yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) akan menentang penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan, calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Rashid Mohd Kassim dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Shaid Rosli.
3) NURUL IZZAH ANWAR
Kedai mamak cukup sinonim dengan rakyat Malaysia kerana harganya yang berpatutan dan sering menjadi lokasi untuk melepak.
Bagaimanapun, kehadiran Nurul Izzah di sebuah restoran mamak ketika berkempen mendapat perhatian orang ramai.
"Bila musim PRU, tiba-tiba datang selera nak makan kat kedai mamak, selama ni makan kat manalah agaknya tu," kata Aliya.
"Lima tahun sekali makan mamak, senyum mamak tu tiba-tiba kedai dapat untung besar sebab Nurul Izzah datang," jelas Rahimi.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru di mana penyandangnya, Nurul Izzah Anwar (PH) akan berdepan dengan pesaing, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (BN), Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN) dan Mohamad Nasir Othman (GTA).
4) RAFIZI RAMLI
Kehadiran Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di sebuah gerai menjual pisang goreng menjadi perbualan hangat netizen di media sosial.
"Hebat gorengan beliau kali ini, bukan sahaja hebat menggoreng ayat malah hebat menggoreng pisang. Semoga tak hangus pisang tu," jelas Ismadi.
"Waktu inilah nak tunjuk berminat cuba segala benda baru bersama rakyat. Harap bukan lima tahun sekali turun goreng pisang tu," kata Aliya.
Rafizi Ramli akan bertanding di Parlimen Pandan sekali gus menyaksikan pertempuran sengit antara Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee mewakili BN, bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat bertanding atas tiket Warisan, Muhammad Farique Zubir Albakri mewakili PN dan Nadia Hanafiah (GTA).
5) AHMAD MASLAN
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang sibuk membersihkan kawasan sebagai salah satu cara berkempen turut menjadi bualan netizen di media sosial.
"Selalu terhibur dengan Datuk Seri Ahmad Maslan ni, ada sahaja benda-benda lawak yang dia buat. Tapi itulah, harap kalau terpilih kena jaga kawasan tu betul-betul, bukan lima tahun sekali baru muncul," jelas Iliza.
"Masa inilah nampak rajin dan komited menjaga kawasan. Kenapa ya ahli politik kebanyakannya macam itu, undi kita ni mahal sebenarnya tapi lepas menang terus tak nampak muka," kata Laila.
Ahmad Maslan yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian akan ditentang calon Perikatan Nasional, Datuk Isa Ab Hamid, Pakatan Harapan, Shazwan Dzainal Abidin dan Jamaludin Mohamad dari Pejuang.
Sumber: Majoriti