Kes Homestay Sabah Sembunyi Kamera Dalam Soket - MOTAC Siasat & Pemilik Dikeluarkan Dari Akaun Airbnb

TERKINI
September 26, 2023 - 03:11 PM


Susulan kes dakwaan pelancong asing bahawa terdapat kamera tersembunyi yang dipasang dalam soket dinding dalam sebuah inap desa di Sabah, di mana lokasi mereka menginap.

Terbaharu, pasukan keselamatan Airbnb telah bertindak mengeluarkan akaun pengendali inap desa berkenaan -- sementara menunggu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Pengurus Besar Airbnb India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan -- Amanpreet Bajaj dalam e-mel kepada Bernama berkata pihaknya melarang perbuatan sedemikian serta kecewa apabila mendengar insiden seperti itu berlaku.

"Meskipun insiden membabitkan keselamatan jarang berlaku di premis Airbnb, kami mengambil serius laporan sebegini dan kami telah memberikan sokongan kepada tetamu kami," katanya.

Amanpreet mengulas laporan Bernama pada Ahad lalu yang menyebut Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) memandang serius dakwaan pelancong asing bahawa terdapat kamera tersembunyi yang dipasang dalam soket dinding sebuah inap desa di mana mereka menginap.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam hantaran di Facebook rasmi beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah, MOTAC negeri dan agensi berkaitan telah diarah mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan itu yang didedahkan di platform media sosial Xiaohongshu, berpangkalan di Shanghai, pada 14 September lepas sebelum dikongsi oleh portal berita tempatan.

KRONOLOGI KES

Pasangan dari China berkongsi rasa terkejut dengan pengalaman tinggal di salah sebuah hotel di Sabah apabila menemui sebuah kamera yang disembunyikan di sebalik soket elektrik.

Dalam perkongsiannya di laman Xiaohongshu, media sosial yang terdapat di China, wanita itu menulis bahawa dia dan suaminya menempah bilik hotel di Kota Kinabalu melalui Airbnb.

Selepas mendarat di lapangan terbang pada pukul 2 pagi dan tiba di bilik pada pukul 3 pagi, mereka membuat pemeriksaan di bilik hotel bagi memastikan tiada sebarang kamera yang tersembunyi.

Difahamkan apabila suaminya memancarkan lampu telefon ke arah soket elektrik tersebut, kelihatan seperti pantulan cahaya. Mereka kemudiannya bertindak membuka soket elektrik tersebut dan terkejut apabila mendapati kamera tersembunyi diletakkan di antara dua port USB.

Pasangan terbabit kemudiannya terus menghubungi ejen hotel tersebut melalui Airbnb. Bagaimanapun tiada balasan yang mereka dapat, “Saya tidak tahu sama ada dia buntu untuk menjawab atau apa,” tulisnya.

Tambah wanita itu, memandangkan kamera tersembunyi itu menghadap katil, dia takut untuk menanggalkan pakaian atau mandi.

Keesokan paginya, wanita itu menghubungi Airbnb. Mereka diminta untuk keluar dan mencari penginapan lain. Dia kemudiannya dibantu oleh seorang wanita tempatan untuk membuat laporan polis.

Lebih mengejutkan lagi, ejen hotel tersebut telah menuduh pasangan tersebut membuat tuduhan palsu kerana mahu mengelak daripada membayar wang penginapan sebanyak RM400.

“Mengapa saya perlu melalui semua masalah ini hanya untuk mengelak daripada membayar RM400 semalam untuk penginapan? Rancangan bulan madu kami terganggu sepenuhnya!” katanya tegas.

“Polis juga menyuruh saya memadamkan hantaran itu daripada media sosial, saya lakukan tanpa berfikir dua kali. Tetapi selepas kembali ke negara asal, saya memutuskan untuk berkongsi semula siaran itu sekali lagi untuk memberi amaran kepada orang lain kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” tulisnya.

Destination: