"KJ Jadi DJ!" - Netizen Teruja Khairy Jamaluddin Jadi Penyampai Radio Terbaharu Hot FM
TERKINIMedia Prima Audio (MPA) hari ini mengesahkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mulai Rabu depan.
MPA dalam kenyataan menyebut, Khairy atau mesra dipanggil KJ akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio popular itu, mulai 15 Februari ini.
Pagi tadi, Khairy mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM dalam temuramah melalui telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.
Kenyataan MPA menyebut, minggu lalu, tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.
MPA menambah, selaras dengan 'tagline' stesen radio Hot FM iaitu 'Yang Hangat dan Terbaik', kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot pasti memberi suntikan baharu buat Hot FM dan warna yang lebih menarik untuk segmen terbabit.