Lelaki Mengamuk Tikam Buah Hati Gara-gara Minta Putus

TERKINI
September 02, 2022 - 06:15 PM


Seorang lelaki ditahan reman selama enam hari kerana bertindak ganas menetak dan menikam bekas teman wanitanya kerana mangsa enggan meneruskan hubungan cinta mereka.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 30 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Khalida Farhana Abu Bakar, di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat maklumat tentang kejadian tersebut oleh pengawal keselamatan sebuah kediaman pangsapuri di Masai, dekat sini pada pukul 1.44 petang, semalam.

Pengadu memaklumkan terdengar pergaduhan di unit kediaman berkenaan sebelum mendapati suspek memegang pisau dan mangsa pula dalam keadaan berlumuran darah.

“Suspek bertindak mencederakan mangsa dengan menetak di beberapa bahagian badan dan menikam mangsa menyebabkan mangsa luka pada bahagian muka, lengan, pergelangan tangan dan rusuk.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana marah terhadap mangsa yang enggan meneruskan hubungan percintaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Polis menahan lelaki tersebut dan turut merampas pisau sepanjang 19 sentimeter yang digunakan dalam kejadian tersebut.

“Pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya. –

Destination: