MAS Tawar Tiket Serendah RM89, Bagi Penerbangan Sehingga 31 Ogos 2023

TERKINI
February 02, 2023 - 05:11 PM


Ini ada berita baik untuk korang yang nak Cuti-Cuti Malaysia dengan menaiki penerbangan di bawah rangkaian Malaysia Aviation Group iaitu Malaysia Airlines (MAS), Firefly dan MASwings.

Syarikat penerbangan tempatan itu kini menawarkan tambang istimewa ke semua destinasi dalam Malaysia sehingga 31 Ogos ini.

Malaysia Airlines menawarkan tawaran menarik bermula daripada RM89 sehala ke semua destinasi di Semenanjung Malaysia melalui tambang Economy Lite -- termasuk elaun bagasi kabin sebanyak 7 kilogram, snek percuma atau makanan dan minuman serta hiburan dalam penerbangan.

Bagi pelanggan yang ingin menikmati pengalaman perkhidmatan pelancongan premium penuh boleh memilih tambang Kelas Perniagaan yang bermula dari RM429 sehala -- dilengkapi dengan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 40kg, dua elaun bagasi kabin sebanyak 7kg setiap satu, pilihan tempat duduk percuma, makanan percuma, keutamaan ketika daftar masuk dan akses ke lounge terkemuka syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tambang dari Kuala Lumpur ke Sarawak dan Sabah pula bermula dari RM119 dan RM169 sehala untuk Kelas Ekonomi, manakala RM799 dan RM899 untuk Kelas Perniagaan.

Mereka yang ingin melancong antara Sabah dan Sarawak boleh menikmati tambang bermula dari RM99 untuk Kelas Ekonomi atau RM429 untuk Kelas Perniagaan.

Selain itu, bagi memastikan ketersambungan yang lancar di dalam negara -- syarikat penerbangan bersaudara Firefly dan MASwings juga akan menawarkan tawaran menarik untuk pelancong meneroka lebih banyak destinasi.

Firefly menawarkan tambang dari RM69 hingga RM159 untuk perjalanan segera sehingga 31 Ogos 2023 -- yang akan dikendalikan oleh pesawat ATR72-500 dan Boeing 737-800.

Penerbangan domestik dengan ATR 72-500 dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah turut menawarkan kemudahan yang pelbagai termasuk elaun bagasi percuma sebanyak 20kg dan minuman dalam penerbangan.

Sementara itu, penerbangan domestik yang dikendalikan oleh Boeing 737-800 akan menawarkan tambang daripada RM69 sehala ke destinasi termasuk Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Johor Bahru.

Penumpang yang menaiki Boeing 737-800 Firefly akan mempunyai fleksibiliti untuk menyesuaikan penerbangan mereka berdasarkan pilihan termasuk pelbagai pilihan tambahan untuk makanan dalam penerbangan, elaun bagasi dan perlindungan perjalanan.

Sumber: Berita Harian

Destination: