Patut Tiada Panggilan Minta Wang Tebusan, Polis Percaya Kes Culik Ejen Kosmetik Berpunca Suaminya Ahli Sindiket Dadah
TERKINISelasa lepas (13 September) -- negara digemparkan dengan kes penculikan seorang ejen produk kosmetik dikenali sebagai Rosnazirah Mohd Naim di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan.
Ada saksi yang mendakwa melihat wanita berusia 36 tahun itu dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya masuk ke negara jiran, Thailand.
Banyak teka-teki dan persoalan timbul mengenai punca kes penculikan tersebut memandangkan ahli keluarga wanita itu mendakwa tidak menerima sebarang panggilan mengenai wang tebusan.
Perkembangan terbaharu -- polis percaya perselisihan antara ahli sindiket dadah dipercayai menjadi punca utama wanita itu dilarikan hingga ke Thailand.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suami kepada mangsa dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah.
Susulan itu katanya, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan wanita, semalam (Rabu, 14 September) bagi membantu siasatan.
"Kita sudah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Thailand bagi menyelamatkan mangsa berusia 36 tahun dan usaha ke arah itu giat dilakukan.
"Polis juga percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya selain mengenali suspek yang melarikannya kelmarin," katanya pada sidang media.
Sumber: Harian Metro