SAH! Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Tioman Dibatalkan Atas Dasar Ekosistem Semulajadi

TERKINI
August 10, 2023 - 06:04 PM


Kerajaan bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut selepas mesyuarat jemaah menteri diadakan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata -- keputusan tersebut diambil disebabkan pembinaan lapangan terbang tersebut tidak selari dengan misi kementeriannya apabila ia melibatkan tambakan di Pulau Tioman.

Keputusan tersebut juga mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemapanan dan menjamin kesejahteraan negara.

1) “Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke Pulau Tioman.

2) “Pulau Tioman yang diwartakan sebagai taman laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai sepsis hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar.

3) “Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan tidak mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pembangunan lapangan terbang itu di Pulau Tioman berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu malah laporan EIA mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan itu akan terancam.

Nik Nazmi berkata, NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar sudah selesai melaksanakan proses pameran awal bagi laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Jelasnya, laporan EIA sudah dipamerkan selama 30 hari iaitu bermula daripada 21 Jun hingga 20 Julai, orang awam turut mengemukakan ulasan awam daripada 21 Jun sehingga 4 Ogos iaitu selama 45 hari dan dalam tempoh tersebut menerima 1,412 ulasan awam.

“Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang diadakan pada hari ini, kementerian mendapati bahawa cadangan lapangan terbang Baharu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar.

“Khususnya kepada penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin sekiranya diteruskan,” jelasnya.

Sumber: UTUSAN

Destination: