"Saya Maafkan Menantu Saya" - Kes Lelaki Lepaskan Lebih 5 Das Ke Muka Isteri

TERKINI
March 07, 2023 - 10:50 AM


"Saya maafkan apa yang dia (menantu) lakukan dan terima ujian ini seadanya kerana saya sudah menganggapnya macam anak saya sendiri."

Luahan ikhlas Salleh Eizan, 63, itu buat menantunya, seorang lans koperal polis yang menembak anaknya, Safsufarnisya, 26, dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat semalam.

Salleh berkata, walaupun pada mulanya agak sukar untuk dia menerima apa yang berlaku terutama apabila nyawa anaknya hilang, dia akhirnya pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

"Saya juga sudah menganggap menantu (suspek) sebagai anak saya sendiri jadi segala apa yang berlaku itu, saya maafkan," katanya hari ini.

Sementara itu, isteri Salleh, Che Mas Taha, 63, berkata, mereka sekeluarga memasuki bilik diduduki arwah dan terkejut apabila menemui beberapa pakaian bayi tersimpan kemas dalam plastik di dalam almari.

"Adik (Safsufarnisya) dengan suaminya, rupa-rupanya sudah menyediakan kelengkapan menyambut kelahiran bayi sulung mereka tanpa pengetahuan kami.

"Memang kami tahu Adik sedang hamil tetapi kami tidak pula tahu bila mereka beli baju dan seluar bayi ini.

"Apabila melihat baju dan seluar bayi, kami lebih sedih dan sayu teringatkan Adik," katanya.

Kakak Safsufarnisya, Safsuzafira, 37, pula berkata, adik bongsunya itu menulis dengan gincu 'Welcome Junior Ijat' pada cermin meja solek di bilik tidurnya, sebagai meraikan kehamilan sulung.

Jenazah Safsufarnisya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat selepas Isyak.

Destination: