Siapa "Datuk D" Calon Terkaya Dari Kelantan Miliki Aset Lebih RM100 Juta?
TERKINIBagi membuktikan bahawa kesemua calonnya yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah telus dan benar-benar bebas rasuah -- Parti Keadilan Rakyat (PKR-PH) menuntut mereka untuk mengistiharkan harta masing-masing.
Pengisytiharan harta yang dimuat naik dalam bentuk format PDF itu disiarkan di laman web calonkeadilan.org dan dilaporkan setakat ini aset bersih terkumpul kesemua 80 calon Ahli Parlimen PKR melebihi RM354 juta!
Bagaimanapun, dalam ramai-ramai calon ketuanya sendiri belum berbuat demikian apabila sehingga hari ini (8 November 2022) -- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih belum memuat naik dokumen pengisytiharan harta suami isteri itu.
Selepas dikritik gara-gara masih belum melaksanakan peraturan seperti yang dituntut partinya sendiri, Pengerusi Penasihat PKR, Wan Azizah akhirnya bersuara dan beliau memaklumkan akan mengumumkan secara rasmi pengisytiharan aset semua dalam waktu terdekat iaitu sebelum hari pengundian, 19 November.
Jom kita tengok calon PKR mana yang bertanding mempunyai harta seperti raja :
1) CALON PARLIMEN TANAH MERAH - Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor
Mohamad Suparadi atau lebih mesra disapa dengan panggilan Datuk D menjadi calon terkaya PKR pada PRU15 apabila memiliki aset bersih berjumlah sehingga RM106.1 juta.
Menurut beliau, jumlah harta itu meliputi nilai hartanah yang terdapat di Papua New Guinea berkeluasan 1,000 hektar dan menjadi pemegang saham sebanyak 20 peratus.
Katanya, jika harta itu dijual nilaian semasa berjumlah RM500 juta.
Aset bersih Ketua Cabang Tanah Merah yang diisytiharkan setakat 30 September itu meliputi wang tunai di bank yang berjumlah RM300,000; 40,000 unit saham di DSN Capital Sdn. Bhd. yang bernilai RM400,000 dan 20,000 unit saham di iLimo Stalite Ltd. (P&G) yang bernilai RM100 juta.
Selain itu, Mohamad Suparadi yang mewakili PH pada PRU15 kali ini mempunyai 3 unit kediaman yang bernilai sehingga RM5.3 juta dan sebuah kenderaan berjenama BMW yang bernilai RM100,000.
Rekod juga menunjukkan Suparadi pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) dan Pengarah Eksekutif Iris Corp.
2) CALON PARLIMEN SUNGAI BULOH - Datuk R Ramanan
Selain Suparadi, calon lain yang memiliki aset bersih yang tinggi adalah calon Parlimen Sungai Buloh, Datuk Ramanan berjumlah RM63.5 juta.
Ia turut merangkumi hartanah bernilai RM27 juta.
3) CALON PARLIMEN HULU SELANGOR - Dr Sathia Prakash
Dr Sathia Prakash mengisytiharkan hartanya bernilai RM40 juta.
Bagaimanapun dokumen sokongan untuk Dr Sathia yang mempunyai rangkaian klinik perubatan, tidak disertakan dalam laman berkenaan.
4) CALON PARLIMEN PANDAN - Rafizi Ramli
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjadi calon pertama PRU-15 yang mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.
Minggu lalu, Rafizi dilaporkan berkata sekiranya terdapat mana-mana ahli politik yang enggan mengisytiharkan harta yang dimiliki, kemungkinan terdapat sesuatu yang cuba diselindungkan.
Difahamkan, pada majlis pengumuman calon PKR, kesemua calon menandatangani borang aku janji.
Borang tersebut melibatkan persetujuan untuk memulangkan wang deposit pencalonan, memotong elaun sekiranya menjadi wakil rakyat, serta mengisytiharkan harta.