“Silverlakes Brand Village Outlet”, Gedung Beli-Belah Premium Tepi Tasik Di Perak

TERKINI
May 13, 2019 - 12:09 PM


Silverlakes Brand Village Outlet bakal menjadi satu lagi mercu tanda baharu di kawasan destinasi pelancongan di Lembah Kinta, Perak dengan menawarkan pengalaman membeli-belah berteraskan pusat pelancongan.

Pembinaan gedung beli-belah berkonsepkan alam semulajadi yang dikelilingi tasik ini adalah pertama seumpamanya di Malaysia, dijangka dibuka pada akhir tahun depan.

Silverlakes Brand Village Outlet dibina di atas kawasan seluas 13.35 hektar dengan keluasan 37,161 meter persegi.

Apabila siap kelak, ia bakal menjadi salah satu destinasi utama untuk pelancong tempatan dan antarabangsa beriadah serta membeli-belah lebih 150 jenama barangan gabungan dari dalam dan luar negara.

Selain pembinaan sebuah outlet beli-belah, terdapat pelbagai kemudahan lain untuk pengunjung termasuk perkampungan kartunis terkenal negara, Datuk Lat.

Istimewanya projek ini adalah kerana lokasinya strategik di Wilayah Tengah Semenanjung dan berada hanya 10 minit dari simpang susur keluar Simpang Pulai, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Malah, ia juga terletak berdepan dengan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Batu Gajah yang menawarkan akses mudah dari Lembah Klang dan Pulau Pinang, sekali gus menawarkan kaedah pengangkutan terbaik bagi masyarakat tempatan dan pelancong.

Pelan pembangunan Silverlakes dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan pembinaan Silverlakes Brand Village Outlet disusuli dengan projek pembinaan hotel dan kediaman.

Keseluruhan projek Silverlakes @ Kinta Valley dijangka siap dalam masa 7 hingga 8 tahun itu dibangunkan di kawasan seluas 207.1 hektar melibatkan fasa seterusnya iaitu pembinaan projek hotel empat bintang dilengkapi dengan 220 bilik yang bercantum dengan gedung membeli belah berkenaan serta penyediaan pusat konvensyen yang boleh memuatkan 1,200 tetamu.

Manakala fasa kedua memlibatkan pembangunan kawasan kediaman mewah dan moden iaitu rumah bandar (townhouse), kediaman berlaman dan vila tepi tasik meliputi 115 ekar dengan panorama tasik yang indah.

Baca juga: Premium Outlet Terbaru Bakal Dibina Di Langkawi, Dijangka Siap Sepenuhnya Menjelang 2026!