Tragis! Hanya Kerana Berebut Tempat Duduk, Gadis 18 Tahun Terbunuh Adiknya Sendiri!
TERKINIHanya kerana berebutkan tempat duduk di dalam kereta -- seorang kakak bergelar 'pembunuh' kepada adik kandungnya sendiri!
Tragis sungguh kejadian yang berlaku di Ulu Pulai, Ulu Choh dekat Iskandar Puteri, Johor pada Rabu apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya akibat pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Polis, Rahmat Ariffin berkata -- pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu, yang turut melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, pada pukul 2.15 petang.
KAKAK MANGSA MENGAKU TELAH MEMBALING PISAU KE ARAH MANGSA SETELAH DIEJEK
Beliau berkata, berebut tempat duduk di dalam kereta dipercayai menjadi punca pergaduhan dua beradik itu.
"Ibu mereka mengatakan pada awalnya, mangsa bergaduh dengan kakaknya disebabkan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan kakak mangsa mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa setelah diejek ketika masuk ke dalam rumah,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang dan bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada Khamis.
KAKAK MANGSA DITAHAN REMAN SEHINGGA 25 OKTOBER
Sementara kakak mangsa yang berusia 18 tahun ditahan reman sehingga 25 Oktober depan oleh Mahkamah Majistret.
Perintah itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
AHLI KELUARGA MENYIFATKAN DUA BERADIK ITU RAPAT & TAAT PADA AGAMA
Sementara itu, ahli keluarga bagaimanapun bagaikan tidak percaya dengan insiden yang berlaku itu kerana menurut mereka dua beradik tersebut sangat rapat dan taat pada agama.
Jelasnya yang tidak mahu identiti didedahkan, kedua-duanya dididik untuk tidak meninggalkan solat dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang dalam keluarga yang saling menyayangi.
Kedua-dua beradik berkenaan adalah anak yang baik dan sangat bijak kerana sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga.
Tambahnya lagi, mangsa merupakan bekas pelajar Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Gelang Patah di mana kakaknya juga adalah pelajar Tingkatan Enam di sekolah yang sama.
Difahamkan, kedua ibu bapa mereka tertekan dengan kejadian yang menimpa dan tidak keluar rumah sejak petang semalam apatah lagi insiden tragis itu tular di media sosial.
Sumber: Harian Metro