[VIDEO] 9 Tahun Misteri MH370 - Netflix Bakal Tayang Dokumentari Khas 8 Mac Ini

TERKINI
February 17, 2023 - 03:31 PM


8 Mac depan, genap 9 tahun misteri kehilangan pesawat MH370 terus menyelubungi dunia!

Bersempena tempoh 9 tahun tragedi menyayat itu -- Netflix bakal menayangkan dokumentari khas berkenaan kes kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini masih hilang tanpa sebarang petunjuk.

Dokumentari MH370: The Plane That Disappeared akan ditayangkan pada 8 Mac depan sebanyak tiga episod.

Episod pertama akan membawa paparan beberapa hari dan jam sebelum kehilangan pesawat MH370, termasuk timbul teori konspirasi dan tuduhan tidak berasas.

Episod kedua pula bakal menampilkan beberapa pakar yang akan membincangkan mengenai pesawat MH17 yang ditembak peluru berpandu Rusia sebelum terhempas.

Tragedi MH17 menyebabkan Malaysia menjadi perhatian dunia iaitu selepas empat bulan kehilangan MH370. Tragedi itu mengorbankan 298 nyawa insan yang tidak berdosa.

Sementara episod ketiga dijangka memaparkan penemuan serpihan besar dipercayai milik MH370 yang hanyut di lautan di Timur Afrika.

Sehingga kini, MH370 terus menjadi misteri kehilangan terbesar dengan mencatatkan kos operasi carian paling tinggi dalam sejarah.

Seperti dilaporkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pakar lain, serpihan sayap pesawat disahkan milik MH370, namun sesetengah wartawan dan ahli keluarga mangsa masih skeptikal dengan penemuan berkenaan.

Dokumentari berkenaan bakal membawa komuniti global termasuk ahli keluarga, saintis dan wartawan penyiasatan yang masih terus mencari jawapan atas kehilangan pesawat milik Malaysia itu.

VIDEO TRAILER DI BAWAH:

Destination: