[VIDEO] Aerotren KLIA Selalu 'Buat Hal', Terbaru 114 Penumpang Terkandas. Perkhidmatannya Kini Digantung Sementara!

TERKINI
March 03, 2023 - 12:34 PM


Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menggantung sementara perkhidmatan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata penggantungan operasi kedua-dua aerotren disebabkan kekerapan berlakunya kerosakan termasuk insiden terbaharu jam 3 petang semalam.

"Kami dengan penuh kekesalan mengumumkan penggantungan operasi aerotren antara bangunan utama ke satelit berkuatkuasa hari ini atas sebab keselamatan.

"Selepas banyak kali berlaku kerosakan dengan terkini semalam menyebabkan 114 penumpang terkandas di dalam aerotren di tengah-tengah landasan, manakala tren kedua yang digerakkan untuk mengangkut penumpang terbabit juga mengalami kerosakan.
 

"Kami akan memaklumkan mengenai pengoperasian semula sebelum penggantian aerotren baharu dapat beroperasi menjelang 2025," katanya pada satu sidang media.

Iskandar Mizal berkata, MAHB akan mengambil kira semua kemungkinan termasuk memperbaiki aerotren terbabit, selain operasi 18 bas pengantara terus beroperasi seperti biasa untuk memudahkan urusan pergerakan penumpang KLIA Terminal 1.

"Kami akan terus meratifikasi sebarang kemungkinan termasuk membaiki aerotren terbabit sehingga tren baharu sepenuhnya beroperasi pada 2025.

"Buat masa ini, projek penggantian aerotren berada dalam Fasa 1 iaitu reka bentuk yang memerlukan penukaran keseluruhan gerabak, landasan dan infrastruktur yang sesuai yang akan selesai akhir suku kedua tahun ini.

"Selepas itu, pembangunan akan bermula sebelum operasi aerotren baharu beroperasi mulai 2025," katanya.

Mengulas mengenai nasib 114 penumpang yang terkandas semalam, beliau menjelaskan, semua penumpang telah diberi bantuan segera dan 10 daripadanya terlepas penerbangan ke destinasi masing-masing.

"10 penumpang yang terlepas penerbangan telah dibantu dengan diberi penginapan serta tiket penerbangan semula ke destinasi masing-masing telah diuruskan semula dan ditanggung oleh MAHB.

"Kami kesali insiden yang telah berlaku. Lebih buruk lagi, tren 'penyelamat' yang sepatutnya mengambil penumpang terkandas juga rosak menyebabkan penumpang terpaksa berjalan ke bangunan satelit dalam keadaan cuaca hujan renyai-renyai.

"Selepas kejadian di mana kedua-dua aerotren rosak petang semalam dan mengambil kira kekerapan kerosakan berlaku, hari ini pihak pengurusan memutuskan menggantung terus sementara operasi secara rasminya," katanya.

Aerotren KLIA Terminal 1 telah beroperasi sejak 25 tahun lalu dengan jarak perjalanan keseluruhan sekitar 2.8 juta kilometer dan mengendalikan kira-kira 300 juta penumpang.

Sumber: Berita Harian

Destination: