[VIDEO] Demi Sekeping Foto Pre-Wedding, Sampai Terbakar Bukit Teletubbies Gunung Bromo!
TERKINIKebakaran di Bukit Teletubbies atau Blok Savana Watangan Valley di kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Indonesia -- dipercayai berpunca daripada tindakan sekumpulan pengunjung yang bertindak membakar suar semasa mengambil gambar pra perkahwinan.
Susulan itu, enam individu ditahan dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 10 malam pada Rabu lalu.
Menurut Ketua Pentadbiran Pusat TNBTS, Septi Eka Wardhani, keenam-enam orang itu kini sedang menjalani soal siasat di Polis Pusat Peranginan Probolinggo (Polres).
Seorang pengurus produksi gambar pra perkahwinan yang berasal dari Kelurahan Tompokersan, Kecamatan Lumajang, Kabupaten Lumajang antara individu terlibat dalam insiden tersebut.
Lima saksi lain turut ditahan, termasuk pasangan yang sedang merakam foto pra perkahwinan mereka --sementara tiga lain yang ditahan ialah kru produksi.
Selain menyalakan empat suar asap, mereka juga dipercayai memasuki kawasan larangan bagi pengunjung di Bukit Teletubbies tanpa kebenaran.
Menurutnya, petugas TNBTS menyedari berlaku kebakaran di padang tersebut sekitar pukul 11.30 pagi sebelum segera melaporkannya kepada SPKT Polis Sukapura.
Akibat kebakaran itu, kira-kira 50 hektar kawasan padang rumput hangus dijilat api.
"Pejabat Siasatan Jenayah akhirnya menjalankan TKP dan menemui lima kelongsong suar asap mata emas dan sebatang mancis. Kesemua barangan ini telah dikenal pasti sebagai milik suspek," jelasnya.
Selain itu, polis turut menyita kamera dan baju pra perkahwinan milik pengantin.
Susulan kebakaran yang terjadi di Bukit Teletubbies itu, Pusat TNBTS bertindak menutup semua pintu masuk Gunung Bromo.
Terdapat empat pintu masuk untuk ke Gunung Bromo antaranya di Desa Ngadisari Kecamatan Sukapura dan Desa Wonokitri di Kecamatan Tosari di Probolinggo.
Gunung Bromo juga dapat diakses dari kawasan Kabupaten Lumajang dan kawasan Jemplang, Kecamatan Poncokusumo, Kabupaten Malang.