[VIDEO] Lagu Negaraku Berkumandang Di Israel, Sambil Jalur Gemilang Berkibar Di Sebelah Bendera Zionis. Apakah?!

TERKINI
December 01, 2022 - 12:19 PM


Viral sebuah video di sosial media sekumpulan lelaki dan wanita dipercayai rakyat Malaysia sedang melakukan lawatan sambil menyanyikan lagu Negaraku dengan berkibarnya bendera rejim Israel baru-baru ini.

Menerusi rakaman video telefon pintar oleh salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut, dipercayai mereka berada di atas sebuah bot untuk menuju ke satu tempat.

Berdasarkan video berdurasi 47 saat, kelihatan mereka dengan penuh semangat menyanyikan lagu kebangsaan sambil melihat ke arah Jalur Gemilang yang berkibaran di sebelah bendera Israel yang terletak di bahagian hadapan bot.

@utusantvofficial Kita bagi polis siasat ye 😁. #fyp #trendingnewsmalaysia #beritaditiktok #negaraku #jalurgemilang ♬ original sound - UtusanTV

Sementara itu, pihak polis dilaporkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran klip video berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata siasatan dijalankan ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada jam 11.20 malam, kelmarin.

Menurut beliau, pengadu memaklumkan dia melihat satu klip video berdurasi 47 saat berkaitan kejadian itu dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum tampil membuat laporan polis.

"Hasil siasatan mendapati kejadian dalam klip video itu berlaku pada September lalu, ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke Tasik Galilee yang terletak dalam kawasan jajahan Israel.

"Lawatan dibuat menerusi Ziarah Kembara yang dikendalikan sebuah agensi pelancongan tempatan dan ketika lawatan, lagu Negaraku dipasang dan dinyanyikan serta bendera Malaysia dikibarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini (1 Disember 2022).

Menurut Ku Mashariman, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan berkaitan kejadian itu menerusi mana-mana platform.

"Ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis serta menggugat ketenteraman awam.

"Klip video itu dipercayai diviralkan semula untuk dikaitkan dengan isu Israel yang sedang panas sekarang," katanya.

Semakan di media sosial pula mendapati ada pihak yang menjelaskan bahawa semasa lawatan di Tasik Galilee dengan bot itu, kapten bot berkenaan memainkan lagu Negaraku dan menaikkan bendera Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Destination: