[VIDEO] Viral Langkawi Banjir, Penduduk Diminta Waspada Paras Air Di Tahap Bahaya!

TERKINI
October 17, 2022 - 11:09 AM


Dari semalam, Ahad (16 Oktober 2022) -- viral di media sosial dengan beberapa video serta gambar menunjukkan pulau peranginan terkenal di utara tanah air telah dilanda banjir besar.

Menurut laporan ia disebabkan oleh paras air di Lembangan Sungai Melaka di Langkawi, Kedah setakat pukul 1 tengah hari semalam menunjukkan trend menaik dengan satu daripada stesen sungai telah mencapai paras bahaya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam perkongsian di Facebooknya berkata, stesen sungai yang mencapai paras bahaya ialah Stesen Sungai Melaka di Bukit Kemboja dengan paras air mencecah 8.91 meter.

Dua lagi stesen sungai yang mencapai tahap amaran ialah di Stesen Empangan Padang Saga dengan paras air mencecah 20.10 meter, manakala Stesen Sungai Melaka di Padang Matsirat mencecah 3.40 meter.

“Hati-hati dan sentiasa alert dengan info penting pihak berkuasa. Semoga Allah lindungi kita semua daripada bencana banjir buruk,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

Terdahulu, Tuan Ibrahim berkongsi amaran hujan berterusan mencapai tahap waspada di beberapa kawasan di Perlis dan Kedah.

“Kawasan Perlis dan sebahagian kawasan di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap. Saya difahamkan beberapa kawasan di utara Semenanjung telah hujan sejak malam dan awal pagi tadi. Beberapa stesen mencatatkan aras air sungai melebihi tahap BAHAYA.

“Setakat pukul 12 tengah hari, stesen hujan di Kuala Nerang, Padang Terap mencatatkan 31.5mm dalam tempoh 1 jam (AMARAN). Saya doakan agar kita semua dilindungi Allah daripada bencana banjir. Aameen. Insya-Allah,” katanya lagi.

Destination: