Ini Sebabnya Jual Beli Pada Hari Jumaat Adalah Haram Hukumnya

GAYA HIDUP
July 15, 2022 - 02:18 PM


Bagi mereka yang tinggal di Kelantan, mungkin perkara ini sudah biasa, kalau tak percaya datang lah ke Kelantan pada hari jumaat. Kebanyakkan kedai-kedai akan tutup bukan sahaja ketika solat jumaat malah sepanjang hari jumaat.

Hari Jumaat dianggap sebagai penghulu hari dalam Islam, hari yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan di mana doa-doa dimustajabkan. Malah penghormatan kepada hari Jumaat ini dikhususkan lagi apabila setiap lelaki Muslim perlu bersegera meninggalkan setiap pekerjaan mereka untuk bersegera ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

Bagi yang masih tidak tahu, para ulama’ sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah dikumandangkan azan kedua, iaitu apabila khatib telah naik ke mimbar untuk menyampaikan khutbah.

Pada zaman permulaan Islam, azan dikumandangkan sekali sahaja iaitu ketika khatib naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Azan yang pertama (dikumandangkan ketika masuk waktu) diperkenalkan ketika zaman Saidina Uthman RA kerana pertambahan bilangan umat Islam yang semakin ramai dan ia diamalkan hingga sekarang.

Seruan untuk bersegera dan meninggalkan jual beli ini disandarkan kepada firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” (Surah al-Jumu’ah 62:9)

Tetapi korang jangan risau, larangan ini hanya berkuatkuasa ke atas lelaki yang diwajibkan Solat Jumaat sahaja. Wanita, anak kecil dan orang sakit tidak termasuk dalam larangan ini.

Namun begitu, jika dua orang yang melakukan transaksi jual beli, dan salah seorang sahaja yang diwajibkan melakukan solat Jumaat, maka menurut Imam Nawawi, kedua-duanya berdosa meskipun akad jual beli itu sah.

Hal ini kerana, orang yang tidak diwajibkan Solat Jumaat tersebut turut menyebabkan salah seorang lagi lalai daripada menyegerakan solat Jumaat.

Setelah menunaikan solat Jumaat pula, umat Islam diseru untuk menyambung semula pekerjaan yang dilakukan.

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing)…” (Surah Al-Jumuah 62:10)

Usah lalai dengan urusan dan pekerjaan sehingga melanggar perintah Allah. Di sebalik perintah dan larangan Allah ini, sudah tentu ada kebaikan yang tersimpan untuk orang yang beriman dan mentaatinya.

Keuntungan dan nikmat yang Allah berikan pula bukan hanya berupa kesenangan dunia semata-mata. Percayalah bahawa rezeki itu tidak akan lari jika ia sudah ditakdirkan buat kita.