Steer – Peranti Anti–Tidur Yang Gunakan Elektrik Untuk Kejutkan Pemandu Mengantuk

GAYA HIDUP
May 30, 2018 - 12:24 PM


Mengantuk merupakan masalah utama yang berlaku kepada pemandu kenderaan, terutama yang memandu untuk jarak perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama.

Kebiasaannya, para pemandu akan bergantung kepada beberapa minuman penambah tenaga, jajan-jajan seperti keropok, kacang atau kuaci dan ada juga perlu merokok untuk mengelakkan mereka mengantuk.

Untuk korang yang sering ada masalah mengantuk apabila memandu ni, rasanya korang boleh cuba dapatkan peranti yang dinamakan Steer ini. Peranti yang berupa gelang ini berfungsi untuk memantau konduksi jantung dan kulit menggunakan sensor.

Lampu amaran akan dikeluarkan beserta dengan getaran kuat jika sensor yang ada pada peranti ini mengesan kadar jantung menurun ke paras tidur.

Sekiranya pemandu berterusan menunjukkan tanda-tanda utama mengantuk, lampu amaran merah akan menyala dan peranti ini akan memberikan ‘renjatan elektrik lembut’ untuk mengejutkan pemandu.

Berdasarkan laman web crowdfunding terkemuka, Kickstarter, ransangan kejutan elektrik ini akan meningkatkan tahap serotonin, kortisol dan noradrenalin dalam badan. Selain itu, hormon tidur iaitu melatonin juga akan dikurangkan.

 

Jika dibandingkan dengan pilihan lain yang ada dipasaran, projek Steer ini boleh dikelaskan sebagai terbaik setakat ini dan sehingga hari ini, ia mendapat sokongan dan sambutan hangat di Kickstarter yang menunjukkan mereka berjaya mencapai sasaran dana malah apa yang mereka terima adalah berlebihan.

Jika tiada aral melintang, Steer akan mula berada di pasaran pada November tahun ini dan kita harap ianya akan memasuki pasaran negara kita.