Zulhelmi Akhirnya Ditemui Di Dalam Gua Atas Bukit Selepas Seminggu Hilang

GAYA HIDUP
July 15, 2022 - 01:35 PM


Zulhelmi Ditemukan Selamat Berlindung Dalam Gua

Selepas hampir seminggu dilaporkan hilang, seorang lelaki akhirnya ditemukan selamat di dalam sebuah gua di atas bukit berhampiran Sungai Batu Pahat di sini semalam.

Ketika ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang itu, Zulhelmi Abdul Halim, 28, berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalam gua yang menjadi tempat perlindungannya.

Mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang turut mengikuti operasi mencari dan menyelamat sejak semalam itu.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Abdul Halim Ismail, 71, menzahirkan rasa syukur dengan penemuan anak bongsunya itu selepas hilang sejak seminggu lalu.

Menurut Abdul Halim, dia juga telah melihat gambar terkini anaknya itu dan merasa lega Zulhelmi dalam keadaan selamat meskipun sedikit lemah.

“Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus membantu mencari anak saya sejak dia dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya.

Zulhelmi dilaporkan hilang sejak seminggu lalu selepas keluar menebas bagi membersihkan sebuah dusun durian terletak atas bukit sekitar Sungai Batu Pahat di sini. - utusan

Gambar JPN Pelis/Media sosial