10 Hotel Menarik Dan Unik Boleh Cuba Di Tengah-Tengah Kuala Lumpur

October 09, 2018 - 02:29 PM


Sesekali bercuti di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dapat memberi kelainan tentang pandangan sebenar korang terhadap ibukota Malaysia. Lain rasanya kalau menginap di Hotel, terasa seperti pelancong asing. Namun, masih ramai orang kita yang tahu yang hotel di Kuala Lumpur banyak yang sangat menarik dan harga boleh di katakan dalam kategori murah.

Selain boleh menerokai KL secara total, korang juga boleh lihat sendiri betapa indahnya KL terutama pada waktu malam. Kadang-kadang rasa macam ada kat luar negara pun ada. 

Berikut kami kongsikan 10 Hotel menarik yang ada di KL untuk anda cuba.

10. Chaos Hotel

Chaos atau dalam bahasa Melayunya ‘huru-hara’, jangan salah sangka pula dengan namanya. Nama hotel ini memang tiada kena-mengena sebenarnya memandangkan suasana dalam hotel ini agak tenteram dan selesa.

Hiasan dalam hotel ini adalah gabungan urban dan alam semulajadi. Satu gabungan yang agak bercanggahkan? Tapi pihak hotel berjaya menggabungkan kedua-duanya menjadi sebuah dekorasi yang sangat indah. Berada di dalam pusat membeli-belah terkemuka, Fahrenheit 88, anda tak perlu nak pergi jauh-jauh untuk mencari tempat makan, semuanya anda di sini.

Bilik-biliknya juga lengkap dengan hiburan televisyen bersaluran satelit, pemanas air serta tandas yang lengkap dengan peralatan mandian. Penginapan yang sempurna dan strategik.

Harga: RM123++ ke RM300++ Semalaman

Alamat: Lot B-1, Fahrenheit 88, 179 Jalan Bukit Bintang

9. Lantern Hotel

Di tengah-tengah Chinatown terletaknya Lantern Hotel yang menggabungkan konsep rekaan industrial atau lebih tepat lagi rekaannya seperti era 1920 ke 1960-an dengan penggunaan material seperti kayu, batu-bata dan besi dalam hiasan dalamannya.

Kalau dah menarik macam ni rekaan dalamannya, puaslah anda upload gambar bercuti di media sosial nanti.

Hotel ini menyediakan bilik peribadi dan bilik dorm dan sesetengah bilik memiliki ruang balkoni di mana anda dapat menghirup udara luar. Tapi kalau nak menikmati pemandangan dengan lebih puas lagi, anda boleh ke Lantern Hotel Café dan dari situ, anda dapat melihat sekeliling Chinatown yang sentiasa meriah ini sambil menjamu selera.

Harga:  RM91++ ke RM139++ Semalaman

Alamat: 38, Jalan Petaling, Kuala Lumpur 50000

8. The Mesui Hotel

Melihat rekaan luaran bangunan ini, memang lain dari yang lain. Sangat unik dan menarik perhatian. Bukan sahaja cantik di luar, dalamannya juga dihias dengan menarik sekali gabungan konsep moden dan sentuhan 70-an.

Bilik-bilik di hotel ini dihias dengan minimal untuk memberikan keselesaan. Bukan itu sahaja, kebersihan hotel juga tip-top! Lengkap dengan peyejuk udara dan semua kemudahan penginapan, terdapat tiga jenis bilik yang ditawarkan untuk anda iaitu, Lush,Loft dan Luxe. Ruang lepak hotel ini juga sangat selesa dengan konsep terbuka di mana anda boleh bersantai sambil online ataupun membaca majalah setelah seharian meneroka KL.

Harga: RM149++ ke RM178++ Semalaman

Alamat: 9 Jalan Mesui, Bukit Bintang, Kuala Lumpur 50200

7. The Reeds Boutique Hotel

Bangunan hotel dengan rekabentuk klasik ini terletak di pusat bandar KL yang berdekatan dengan 2 buah stesen monorel, dapatlah anda meneroka KL sepuas hati kan? Kurang 2 km dari hotel ini adalah KLCC, Pavilion Mall dan Fahrenheit 88. Tempat makan juga banyak di sekitar hotel.

Bilik-bilik di hotel ini dihias dengan konsep moden dan tradisional menggunakan warna-warna yang menarik hati. Terdapat beberapa bilik di hotel ini di mana anda boleh menikmati  pemandangan Menara Kuala Lumpur, kalau dapat memang beruntunglah anda!

Harga: RM55++ ke RM277++ Semalaman

Alamat: 9, Jalan Yap Ah Shak, Kuala Lumpur 50300

6. The Yard Boutique Hotel

Terletak di Bukit Bintang, tidak lebih dari 5 minit berjalan kaki sekitar hotel ini terdapat banyak tempat yang boleh dilawati seperti pusat membeli-belah, restoran, tempat refleksologi dan banyak lagi. Monorel juga dekat sahaja.

Bilik-bilik di hotel ini agak luas, sesuai untuk anda datang bercuti bersama keluarga. Hiasan dalaman di bilik-bilik yang selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan ini adalah kombinasi konsep kontemporari dan tradisional.

Taman ala English sebagai ruang santai yang disediakan hotel memberikan ketenangan untuk anda bersantai di waktu pagi atau malam sambil menikmati udara segar.

Harga: RM133++ ke RM241++ Semalaman

Alamat: Lot 623 (No 51D), Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur 50200

5. KL Journal Hotel

Hotel dengan rekabentuk moden ini bukan sahaja berada di lokasi yang terkenal yang berdekatan dengan tarikan-tarikan di KL, malahan lengkap dengan pelbagai kemudahan atau hiburan yang diidamkan penginap sewaktu bercuti seperti gym, kolam di atas bumbung hotel, permainan ping pong, perpustakaan pun ada untuk anda yang suka membaca.

Dari bilik-bilik yang dihias moden ini anda dapat menikmati pemandangan Menara Petronas yang sangat cantik pada waktu malam melalui tingkap yang besar.

Semua bilik lengkap dengan keselesaan penyejuk udara, televisyen, internet yang laju dan iPod dock. Untuk bilik-bilik tertentu pula terdapat mesin kopi Nespresso, jadi untuk anda yang kaki kopi jangan lupa untuk meminta bilik dengan kemudahan ini.

Harga: RM340++ ke RM450++ Semalaman

Alamat: No. 30, Jalan Beremi, Off Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur

4. Bello & Bella Boutique Hotel

Bello & Bella Boutique Hotel menjadikan konsep Era Renaissance Itali sebagai sentuhan utama hotel ini. Penggunaan warna-warna tona neutral menyejukkan mata yang memandang dan memberikan atmosfera tenang dan santai.

Bilik-bilik di hotel ini sangat stylo walaupun tidak begitu luas, anda dapat merasakan gaya industrial yang turut diserapkan di dalam rekaan. Sebuah penginapan yang cukup cantik dan selesa.

Tidak jauh dari hotel ini juga terdapat banyak tarikan di KL seperti pusat-pusat membeli-belah dan tempat makan.

Harga: RM130++ ke RM250++ Semalaman

Alamat: No 19, Jalan Manis 6, Taman Segar, 56100 Kuala Lumpur

3. H Boutique Hotel Sri Petaling

Hotel ini tepat untuk anda yang bercuti sambil berbajet dan inginkan lokasi yang strategik. Dekat dengan bermacam jenis restoran untuk anda menjamu selera sebelum makan angin di sekitar bandar ini. MRT pula hanya 5 minit berjalan kaki dari hotel.

ilik-biliknya agak luas dan sesuai untuk penginapan anda bersama keluarga. Yang penting ianya bersih dan selesa, kalau cantik saja pun tak cukup kan? Kalau anda menginap di bilik Deluxe, peti ais disediakan, bolehlah anda shopping makanan banyak-banyak.

Kalau anda ingin berekreasi, taman rekreasi Bukit Jalil dekat sahaja dari hotel.  Taman ini agak menarik juga untuk bergambar.

Harga: RM126++ ke RM207++ Semalaman

Alamat:  No. 2A, Jalan Radin Bagus 6, Bandar Baru Seri Petaling, 57000 Kuala Lumpur

2. Wolo Hotel Bukit Bintang

Dengan akronim WOLO ‘ We Only Live Once’ sebagai nama hotel, memang patut untuk anda sekali di dalam hidup menginap di hotel ini. Dari luar sudah terlihat keunikan rekaan hotel ini yang berbatu-bata di dalam dan berkaca di luar. Sebaik anda melangkah masuk pasti anda terpegun dengan dekorasi dalamannya.

Bilik-bilik di hotel ini tidak kurang menariknya, luas, berdindingkan dan berlantaikan papan kayu  pada sebahagian besar bilik. Lengkap dengan semua kemudahan yang diperlukan penginap.

Lokasi hotel ini yang terletak di kawasan Segitiga Emas bermaksud ia dikelilingi dengan pelbagai jenis tarikan, restoran-restoran dan tempat membeli-belah terkenal di KL.

Harga: RM230++ ke RM355++ Semalaman

Alamat: Corner of Jalan Bukit Bintang and Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, Kuala Lumpur 55100

1. ANSA Hotel Kuala Lumpur

Hotel ANSA ni betul-betul terletak di depan Pavillion. Bagi mereka yang teringin merasa betul-betul urban boleh lah cuba menginap di Hotel ANSA ini. 

Berkonsepkan gaya moden hotel ini sering menjadi tumpuan pelancong kerana ianya memenuhi citarasa kebanyakkan mereka. Di bawah hotel ini terdapat beberapa kafe yang cukup menarik untuk lepak termasuklah startbucks. Selain itu, korang juga boleh cuba berjalan di ANSA Walk, slaah satu tempat yang penuh dengan seni Malaysia. 

Haa satu lagi korang juga boleh ke Museum Of Illusions yang terletak di tingkat satu. Sangat unik dan muzium ini merupakan muzium ke-6 di dunia. 

Harga: RM280++ ke RM355++ Semalaman

Alamat: Ansa Hotel Kuala Lumpur, 101, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

******

Walaupun berada di negara sendiri, keselamatan sentiasa perlu di utamakan. Boleh baca Tips Keselamatan Di Hotel Untuk Solo Traveller!

Destination: