Enam Kelab Bola Malaysia Dihukum FIFA, Rekod Paling Banyak Di Asia Tenggara

SUKAN
April 03, 2024 - 03:27 PM


Dalam bola sepak, ada beberapa peraturan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang perlu dipatuhi terutama dalam hal ehwal pembayaran gaji.

Terbaru, satu senarai berkenaan kelab di Asia Tenggara yang menerima hukuman larangan pendaftaran pemain baharu dan sekatan perpindahan daripada FIFA telah dikeluarkan.

Hukuman tersebut dikenakan kerana pihak kelab gagal melunaskan tunggakan gaji pemain selama beberapa bulan sejak tahun lepas.

Berdasarkan senarai itu, didapati sebanyak enam kelab dari Liga Malaysia menerima hukuman larangan tersebut sekali gus menunjukkan kelab dari Liga Malaysia adalah paling banyak di Asia Tenggara yang menerima hukuman FIFA berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Menurut data rasmi di laman sesawang FIFA, antara kelab yang terlibat ialah Kedah Darul Aman (KDA FC), Kuala Lumpur City (KL City), TRW Kelantan, Melaka United, Perlis dan Sarawak United. 

Berita tentang hukuman itu telah menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai bagaimana pasukan seperti KDA FC dan KL City boleh menandatangani pemain baharu pada musim ini walaupun hukuman FIFA masih dikenakan.

Menurut data FIFA, larangan pendaftaran pemain baharu yang dikenakan ke atas KDA FC bermula pada tarikh 4 Mac 2024 manakala KL City pada 1 Februari 2024. 

Ini bermakna pemain baharu yang ditandatangani selepas tarikh tersebut tidak boleh beraksi di atas padang dalam setiap perlawanan liga domestik dan peringkat antarabangsa kecuali dibenarkan FIFA.

Namun begitu, pemain baharu tersebut dibenarkan menjalani latihan bersama pasukannya.

Ini bermakna, KDA FC dan KL City perlu melunaskan segera semua baki tunggakan gaji sebelum tarikh tutup jendela perpindahan Liga Malaysia (3 Mei 2024) untuk mendapatkan kebenaran FIFA mendaftar pemain baharu pada musim 2024-2025.

Difahamkan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status pendaftaran pemain baharu bagi dua pasukan tersebut dalam masa terdekat.

 

Kredit: X & The Vocket

Destination: