FIFA Beri 'Green Light', VAR Kini Boleh Digunakan Dalam Liga Malaysia 2024/25

SUKAN
May 02, 2024 - 03:19 PM


Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memberi lampu hijau kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melaksanakan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh FAM pada Khamis, pihak FIFA mengesahkan kepada mereka yang sistem itu boleh digunakan dalam saingan domestik selepas melepasi ujian yang dinilai badan induk bola sepak dunia itu.

"FIFA secara rasminya pada Isnin, 29 April 2024 telah mengiktiraf dan meluluskan penggunaan teknologi VAR di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.

"Pengiktirafan FIFA ini sudah tentu merupakan satu kebanggaan kepada negara kerana Malaysia merupakan antara 68 negara yang mana FIFA telah memberi kelulusan untuk penggunaan teknologi VAR," kata FAM dalam kenyataan mereka. 

Delegasi FIFA yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR FIFA, Igor Rodajcic telah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR. 

Ia merupakan usaha FAM dan Malaysian Football League (MFL) mengadakan perlawanan-perlawanan ujian sistem tersebut untuk membolehkan para pengadil membiasakan diri dengan VAR sebelum aksi sebenar dimulakan.

"Bhaveshan melalui laporannya telah memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini, sekali gus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini.

"Sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) bagi tujuan tersebut.

"Pihak MFL juga telah menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super. Ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025," ujar FAM.

Sistem VAR akan digunakan secara rasmi dalam bola sepak tempatan buat pertama kali apabila Johor Darul Ta'zim berdepan Selangor FC dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah 10 Mei ini.  

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

 

Sumber: Instagram 

Destination: