"Insiden Jenayah Terhadap Faisal Halim & Akhyar Rashid Tidak Berkait" - JSJ

SUKAN
May 06, 2024 - 09:48 AM


Kes serangan yang berlaku terhadap dua pemain kebangsaan negara dalam tempoh masa yang dekat telah mencetuskan persepsi di kalangan peminat bahawa ia dilakukan oleh orang yang sama. 

Namun menurut laporan terkini dari Harian Metro, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata insiden yang berlaku terhadap dua pemain bola sepak kebangsaan itu dipercayai tidak berkait. 

Pihak polis juga kini memberi tumpuan kepada kenyataan kedua-dua mangsa bagi mengenal pasti motif kejadian itu. 

"Kenyataan kedua-dua mangsa itu amat diperlukan dan penting bagi membantu siasatan polis.

"Siasatan masih di peringkat awal dan usaha pada masa ini adalah lebih kepada mencari motif serta pelaku kes berkenaan," katanya.  

Selain itu, orang ramai diluar sana juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa yang terjadi terhadap mereka berdua. 

"Tindakan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat boleh mengganggu siasatan," katanya. 

Semalam, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid. 

Beliau dikatakan diserang ketika di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira 5 petang.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain terbabit mengalami kecederaan. Difahamkan, suspek melarikan telefon pintar dan dompet sebelum melarikan diri. 

 

Sumber: Harian Metro

Destination: