Piala Sumbangsih 2024: Selangor FC Tarik Diri, JDT Kecewa

SUKAN
May 09, 2024 - 10:03 AM


Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC mengumumkan untuk 'tidak hadir' ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024/25 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat. 

Skuad Gergasi Merah memilih untuk tidak beraksi pada perlawanan tersebut atas beberapa faktor terutamanya aspek keselamatan.

Selangor FC sebelum ini telah memohon Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menangguhkan perlawanan itu. Namun permohonan itu telah ditolak oleh MFL.  

β€œSelangor FC telah mengambil maklum keputusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk tetap meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024 ini. 

β€œSetelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan daripada insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain serta pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan," menurut kenyataan Selangor FC. 

Sebelum ini MFL membuat keputusan untuk mengekalkan perlawanan itu dan menolak permohonan Selangor FC selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa.

Daripada makluman MFL, Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya. 

Dalam satu kenyataan berasingan, JDT menyatakan rasa kecewa dengan keputusan Selangor FC. Ini kerana, JDT percaya dengan jaminan diberikan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong menjadi keutamaan oleh pihak polis. 

"Kami pernah diserang dalam keadaan yang 'hostile' di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi kami masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis. 

"Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini. 

β€œMeksipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards. 

 

Sumber: Selangor FC & JDT

Destination: