Berkuat Kuasa 2026, Had Umur Bagi Belia Malaysia Adalah 30 Tahun

TERKINI
November 24, 2023 - 01:35 PM


Ketetapan tentang had umur belia di Malaysia akhirnya terjawab apabila menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa had umur belia di Malaysia akan bertukar kepada 30 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Ini bermakna bermula 2026, hanya individu yang berusia sehingga 30 tahun sahaja yang layak digelar sebagai golongan belia. Namun buat masa sekarang, had umur belia ialah 40 tahun. 

Hannah Yeoh berkata kerajaan telah menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602) pada 1 Jan 2026.

Dia berkata pindaan itu antara lain melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.

Katanya penetapan tarikh itu adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Oleh itu kerajaan telah bersetuju dengan tarikh kuat kuasa berkenaan, warta penetapan tarikh mula kuat kuasa telah pun disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara pada 20 Nov 2023.

“Susulan daripada pewartaan ini adalah penting bagi KBS melakukan pemakluman pada hari ini kerana semua pihak berkepentingan berkaitan belia perlu cakna akan penguatkuasaan pindaan tersebut, khususnya berkaitan dengan had umur belia,” katanya.

Pada masa sama, Hannah menekankan penurunan had umur berkenaan sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.

"Sebagai contoh golongan belia di Indonesia adalah 16-30 tahun, Filipina 15-30 tahun, Thailand 15-24 tahun, Korea 9-24 tahun, Australia 12-24 tahun,” katanya.

Yang mana dah berumur 30 tahun keatas, boleh rilek lagi... Akta ini akan terpakai start 2026, heheheh...

 

Sumber: Malaysia Kini

Destination: