Buat Aksi Bahaya Sehingga Jatuh, Sekumpulan 'Superman' Jalanan Diburu Polis

TERKINI
December 27, 2023 - 03:10 PM


"Hobi kami mahal, nyawa kami murah" adalah ungkapan yang sesuai untuk ditujukan kepada sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi bahaya sehingga mencederakan diri sendiri.

Baru-baru ini menerusi sebuah video yang tular di X, kelihatan sekumpulan mat motor melakukan aksi 'superman' di lebuh raya sebelum terbabas. 

Dalam rakaman berdurasi 28 saat itu, sekumpulan penunggang motosikal tersebut dilihat bersaing sesama sendiri sambil membuat aksi sebelum seorang daripada mereka hilang kawalan dan terbabas.

Insiden tersebut menyebabkan beberapa penunggang lain di belakangnya turut terjatuh ketika cuba mengelak rakan mereka yang terbabas. Kini, pihak polis sedang memburu sekumpulan 'Superman' tersebut.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam satu hantaran di Facebook berkata, kejadian dipercayai berlaku berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, di Lebuhraya Pantai Timur, Temerloh di Pahang.

"Pihak JSPT telah mengarahkan JSPT Pahang untuk mengesan dan menjalankan siasatan terhadap penunggang motosikal yang terlibat.

"JSPT menggesa kepada mereka supaya segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, memandangkan nombor pendaftaran sudah dikenal pasti ," katanya hari ini.

 

Kredit: X & Harian Metro

Destination: