"Di Balai RM300, Sini RM100" - Video Polis Trafik Dengan Pasangan Pelancong Disiasat Bukit Aman

TERKINI
January 29, 2024 - 11:43 AM


Isu yang membabitkan badan beruniform, polis masih lagi menjadi perhatian ramai. Jika sebelum ini, terdapat anggota polis terlibat dengan kes langgar budak dan pukul orang awam, kini golongan tersebut sekali lagi menjadi perbualan ramai ekoran kegiatan rasuah yang dilakukan oleh salah seorang pegawai.

Hujung minggu lalu, tular sebuah video yang memaparkan tindakan seorang anggota polis yang bertindak meminta wang sebanyak RM100 daripada pelancong warga asing dengan alasan mereka melanggar undang-undang jalan raya.

Menurut hantaran @doktorrezz di X, pasangan pelancong tersebut sedang dalam perjalanan untuk mengelilingi dunia dan sedang berada di Malaysia buat masa sekarang.

Disebabkan membawa kenderaan melebihi had laju, pasangan tersebut di tahan oleh polis trafik. 

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan mereka, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu.

"Bayar di balai polis, RM300. Bayar sini, RM100," katanya kepada pemandu wanita itu.

Pelancong itu kemudiannya membayar RM100 kepada polis itu, dan bertanya jika mereka perlu menyerahkan dokumen mereka untuk disemak.

Namun polis itu memaklumkan ia tidak perlu.

Terbaru, video tersebut kini disiasat oleh Polis Bukit Aman. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata PDRM mengambil maklum video yang tular di media sosial pada Ahad dan siasatan terperinci akan dijalankan.

"Pihak JSPT mengambil maklum akan kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut serta tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

 

Sumber: X & Astro Awani

Destination: