Kabinet Malaysia: 5 Menteri & 5 Timbalan Menteri Baharu Dilantik

TERKINI
December 12, 2023 - 02:30 PM


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada sidang media di Putrajaya, Perdana Menteri turut mengumumkan penyusunan semula kementerian berdasarkan keperluan semasa melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Manakala, Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada masing-masing Kementerian Digital serta Kementerian Komunikasi.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31. manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Menteri baharu yang dilantik ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo (Menteri Digital), Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Menteri Kewangan II) yang dilantik senator.

Sementara itu, Steven Sim Chee Keong yang sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan dilantik Menteri Sumber Manusia.

Timbalan Menteri baharu pula ialah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), M. Kulasegaran (Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Ramanan Ramakrishnan (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Wong Kah Woh (Pendidikan) dan Dr Zulkifli Hasan (Jabatan Perdana Menteri - Hal Ehwal Agama) yang juga dilantik senator.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berharap barisan Jemaah Menteri baharu dan pertukaran jawatan menteri serta timbalan menteri yang diumumkan hari ini diharap akan dikekal sehingga empat tahun akan datang.

“Saya harap insya-Allah (kekal) kalau prestasi baik dan memuaskan selain tiada tekanan atau masalah baharu seperti isu transformasi digital.

“Saya tidak fikir harus ada perubahan untuk kita ada rencana untuk empat tahun akan datang sehingga pilihan raya umum,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman barisan Kabinet baharu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media sama ada rombakan Kabinet itu akan dilakukan secara tahunan memandangkan perubahan itu berlaku selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

 

Sumber: Utusan Malaysia & Bernama

Destination: