Malaysia Airlines Tampilkan Reka Bentuk Songket Sebagai Uniform Baru Untuk Petugas 'ADS'

TERKINI
January 12, 2024 - 10:45 AM


Setiap kali pergi ke lapangan terbang, tentu kita akan perasan akan pakaian atau seragam bagi sesebuah syarikat penerbangan. Jika AirAsia menggunakan seragam berwarna merah untuk petugas mereka, pakaian bercorak batik pula dikenakan oleh pekerja Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Terbaru, menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman web Malaysia Airlines, kakitangan barisan hadapan untuk pengendalian darat AeroDarat Services (ADS) kini akan mula mengenakan pakaian seragam baharu yang diperkenalkan oleh Malaysia Aviation Group (MAG).

Menurut MAG, pengenalan uniform berkenaan adalah langkah signifikan ke arah rekaan yang lebih moden dan pada masa yang sama menghormati budaya Malaysia. 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata walaupun ADS berada di bawah MAG dan memberi perkhidmatan kepada penumpang Malaysia Airlines, tetapi mereka juga turut berkhidmat kepada syarikat penerbangan yang lain.

Antaranya adalah China Airlines, Japan Airlines dan Korean Air yang berlepas dari Kuala Lumpur serta lapangan terbang domestik lain di Malaysia.

Berdasarkan gambar yang ditunjuk dalam laman web Malaysia Airlines, pakaian seragam terbaharu dengan motif songket itu direka khas bagi melambangkan komitmen mereka terhadap profesionalisme serta menghargai budaya Malaysia.

Rekaan baharu itu terdiri daripada koleksi seragam sut tiga helai yang disesuaikan dengan pilihan seluar atau skirt untuk wanita. Turut hadir dengan warna biru laut klasik, blaser itu juga menampilkan reka bentuk 'songket' yang menggabung warisan budaya dan kontemporari.

“Pakaian seragam baharu ini direka khas oleh minda muda kreatif dalam MAG. Kami berbangga bukan sahaja dalam pakaian seragam yang dimodenkan, tetapi juga dalam simbol yang merangkumi perpaduan dan kreativiti yang mentakrifkan kami di MAG.

“Walaupun perubahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan daripada kemajuan, apa yang kekal tidak berbelah bahagi adalah komitmen kami untuk menyampaikan intipati unik Hospitaliti Malaysia,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail.

 

Sumber: Remaja & Siakap Keli

Destination: