Kelayakan Piala Dunia 2026: Malaysia Tewas Kepada Oman, Keadaan Padang Pula Tambah Perit

SUKAN
March 22, 2024 - 11:22 AM


Selepas menerajui kumpulan D, pasukan bola sepak negara akhirnya tewas kali pertama dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas tunduk kepada Oman 0-2 pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat awal pagi tadi.

Pada aksi tersebut, barisan Harimau Malaya berdepan kesukaran untuk beraksi dengan baik terutamanya pada separuh masa pertama. Walau bagaimanapun, pada tempoh tersebut, tiada jaringan yang dihasilkan baik dari pasukan lawan mahupun pasukan negara.

Jaringan yang dinantikan penyokong tuan rumah muncul pada minit ke-59 apabila rembatan Issam dalam kawasan penalti tidak mampu diselamatkan penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Hasrat pasukan negara untuk mengikat kedudukan berjaya apabila Romel Morales berjaya menembus gawang lawan namun ia terpaksa dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Muhsen Al-Ghassani akhirnya memadamkan perjuangan skuad negara apabila menjaringkan gol kedua setelah mendapat hantaran lintang Al-Busaidi pada minit ke-88.

Dengan kekalahan pertama yang dialami, Malaysia turun ke tangga ketiga tetapi terikat enam mata bersama Oman dan Republik Krygyz manakala Chinese Taipei di tempat keempat tanpa sebarang mata.

Dalam pada itu, tular di platform X keadaan sebenar padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman selasa depan.

Hal ini kerana terdapat rakaman dron di laman YouTube yang memaparkan kawasan sekitar venue berkenaan sekaligus menampakkan keadaan padang yang cukup teruk selepas konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lepas. 

Ianya sekaligus mengundang pelbagai kecaman dalam kalangan penyokong mengenai persediaan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memastikan padang berada dalam keadaan terbaik sebelum perlawanan bermula.

 

Sumber: X, Instagram & The Vocket

Destination: