Naib Presiden FAM Nafi Semua Dakwaan Dalam 'Surat Layang', Anggap Ia Sebagai Dendam & Dengki

SUKAN
April 01, 2024 - 10:28 AM


Peminat bola sepak tempatan semalam telah dikejutkan dengan penyebaran ‘surat layang’ yang dihantar menerusi email di media sosial mengenai isu salah laku dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Email tersebut telah disebarkan kepada pihak media oleh seorang pengirim yang tidak diketahui identiti sebenar dengan menggunakan nama UltrasFAM.

Dalam email yang tersebut, empat perkara utama telah dibangkitkan iaitu penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Terkini, Naib Presiden FAM Datuk Seri Rosmadi Ismail telah memberikan penjelasan dan maklum balas tentang 'surat layang' berkenaan.

Ketika dihubungi pihak media, Rosmadi mempertahan kepimpinan dan pengurusan badan induk itu yang terpalit dengan pelbagai dakwaan serius menerusi satu 'surat layang' tersebut.

Rosmadi, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, ketika dihubungi Bernama, berkata beliau sudah membaca keseluruhan dakwaan yang dikirim melalui e-mel kepada pihak berkepentingan termasuk media itu dan mendapati ia tidak benar sama sekali.

Beliau menyifatkan kesemua dakwaan yang dibuat, antaranya FAM tidak telus dalam proses pemberian tender membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan sebagai sesuatu yang sangat berat dan mampu mencemarkan imej badan induk itu, selain membantutkan perkembangan bola sepak di Malaysia.

"Bagi saya tuduhan-tuduhan itu tidak benar kerana setiap keputusan sama ada yang besar ataupun kecil, kita buat dalam mesyuarat exco, di mana mesti ada satu keputusan yang konsensus di antara kita, barulah setiap keputusan itu dilaksanakan.

"Berkenaan tender pula, saya rasa tuduhan itu tak betul kerana kita buat tender terbuka. Kita jemput semua pihak dan menilai antaranya dari segi keupayaan syarikat. Setiap keputusan dan cadangan daripada pengurusan ataupun perunding yang dilantik mesti kena dapatkan kelulusan exco," katanya.

Rosmadi juga mengesahkan tiada keputusan yang dibuat secara bersendirian di FAM dan beliau secara peribadi berpuas hati dengan sistem serta cara kerja badan induk itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kesemua dakwaan sengaja ditimbulkan kerana faktor tidak puas hati, dendam dan dengki.

"Saya yakin semua exco termasuk saya amat yakin dengan sistem yang dilaksanakan dan berada di belakang Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) serta seluruh jawatankuasa yang dinyatakan dalam dakwaan yang dibuat itu," katanya.

Kesemua dakwaan tersebut pastinya menambah tekanan dan kehangatan menjelang Kongres Tahunan ke-60 FAM yang dijadual berlangsung di sebuah hotel di Petaling Jaya esok. 

 

Sumber: Bernama

Destination: