"Semua Pihak Perlu Hormati Sekularisme" - Persatuan Bola Sepak Perancis Halang Perlawanan Dihentikan Untuk Berbuka Puasa

SUKAN
March 20, 2024 - 11:29 AM


Bukan hal yang pelik untuk sesebuah perlawanan bola sepak di Eropah dihentikan seketika untuk memberi peluang kepada pemain Muslim membuka puasa. 

Namun, pendekatan yang berbeza telah diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) yang telah mengeluarkan arahan dimana perlawanan liga yang diadakan pada sebelah petang dilarang untuk berhenti bagi memberi laluan kepada pemain beragama islam berbuka puasa.

Menurut laporan media Eropah, organisasi itu telah mengeluarkan surat rasmi terhadap badan pengadilan, kelab, dan pengelola liga  supaya tidak memberhentikan perlawanan kerana tidak mahu berlaku gangguan ketika pemain mengambil masa berbuka puasa.

Presiden persatuan pengadil tempatan, Eric Borghini menegaskan pihaknya akur dengan arahan terbabit dan mana-mana pengadil yang menghentikan perlawanan bagi memberi laluan kepada pemain beragama islam untuk berbuka puasa akan diberikan amaran.

“Kalau ada kejadian pengadil menghentikan perlawanan, maka kami akan memberikan teguran dan amaran kepada mereka,” katanya.

Pengumuman tersebut telah mendapat kritikan ramai pihak sehingga ramai yang menganggap negara itu seolah-olah benci dengan agama islam.

Selain, ia juga mengejutkan ramai pihak memandangkan beberapa pemain bintang dalam liga utama Perancis seperti Achraf Hakimi juga beragama Islam.

Malahan, skuad kebangsaan Perancis ketika ini juga dibarisi oleh beberapa pemain beragama islam seperti Ousmane Dembele, Moussa Diaby, Youssouf Fofana dan Ibrahima Konaté.

Setakat ini, liga-liga utama sekitar Eropah, seperti di Jerman dan England memberi masa beberapa minit terhadap pemain Muslim untuk berbuka puasa. 

Untuk makluman, ini bukan kali pertama keputusan ini diambil memandangkan pada tahun lalu, FFF juga mengeluarkan arahan sama dengan alasan semua pihak perlu menghormati sekularisme.

 

Sumber: X & Morroco News

Destination: