"Makin Berani Dan Mengarut!" - 8 Lelaki Pengikut Ajaran The Ahmadi Ditahan

TERKINI
July 31, 2023 - 04:48 PM


Baru-baru ini, viral satu video yang mengejutkan rakyat Malaysia. Video tersebut memaparkan satu perhimpunan yang melaungkan prinsip dan falsafah hidup LGBT. Dengan pendedahan video tersebut, ramai pihak yang membuat andaian sendiri.

Ada yang mengaitkan dengan taktik sempena PRN yang bakal berlangsung tak lama lagi. Ternyata kesemua andaian itu meleset. Mereka adalah penganut ajaran sesat. 

Polis menahan seramai lapan individu yang terlibat dalam perhimpunan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berhadapan pusat beli-belah di ibu negara, kelmarin.

Kesemua suspek warga tempatan yang berusia 18 tahun hingga 56 tahun itu turut disahkan pengikut ajaran ‘The Ahmadi Religion of Peace and Light’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya mengesan satu perhimpunan tidak mematuhi peruntukan undang-undang lebih kurang pukul 5 petang.

Ujarnya, apabila pihak polis sampai di tempat kejadian, kumpulan tersebut melaungkan perkataan ‘Down down Syariah Court’ dan ‘Only God can judge’ sambil menyatakan hak-hak LGBT di Malaysia disekat.

“Salah seorang suspek yang ditahan pernah ditangkap awal bulan di Masjid Putrajaya kerana mengedarkan risalah berkaitan ajaran agama itu.

“Kesemua lapan individu tersebut direman selama satu hari semalam bagi siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, seramai 11 orang saksi turut diambil keterangan dan kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menjalankan tindakan selanjutnya.

 

Destination: