6 Penuntut UPNM Dipenjara 18 Tahun Atas Kes Kematian Zulfarhan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika disabitkan bersalah.
Enam tertuduh tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Menurut Hakim, hukuman tersebut berjalan bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Sementara itu, enam penuntut tersebut dan 12 lagi tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana didapati bersalah mencederakan Allahyarham.
"Dengan ini kamu berenam dengan niat bersama dan dengan persubahatan tertuduh keenam (Abdoul Hakeem) didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada si mati (Zulfarhan Osman) tanpa niat membunuh," katanya ketika membacakan keputusan pada Selasa.
Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika disabitkan bersalah.
Mereka berenam bersama 12 lagi turut disabitkan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan bagi memeras pengakuan bersalah atau bagi memaksa supaya harta dipulangkan.
-Awani