Aizat Amdan Mangsa 'Body Shaming' - Akui Kurang Muat Naik Gambar Kerana Terkesan Dimalukan
Kelakuan seperti mengejek dan mempersendakan saiz mahupun fizikal seseorang mungkin kelakar bagi sesetengah orang dan kelakuan tersebut semakin menjadi-jadi jika baca komen-komen netizen di dalam platform sosial media.
Perkara sebegitu seolah-olah menjadi trend dan dianggap melucukan walhal menyakitkan kepada mangsa body shaming ini.
Terbaru, penyanyi Aizat Amdan menjadi mangsa body shaming di laman Instagramnya dan berharap orang ramai dapat menghentikan perbuatan mengejek seseorang kerana saiz dan fizikalnya tidak seperti orang lain.
Beliau juga berkata, kadang kala dia meluahkan tentang perkara tersebut kepada isterinya, Elyssa Alia Ilias selain kurang memuat naik gambar di sosial medianya.
Menurut penyanyi berusia 34 tahun itu, perbuatan tersebut semakin menjadi-jadi di media sosial kini seolah-olah mendera mental mereka yang diejek dan tidak memikirkan kesan emosi kepada mangsa.
"Saya tak tipu memang komen-komen itu memberi kesan kepada saya.
"Contohnya baru-baru ini saya buat persembahan festival yang dihadiri beribu pengunjung tetapi yang diperkatakan bukan persembahan tapi penampilan fizikal saya" ujarnya.
Tambah Aizat lagi, fatwa sudah jelaskan body shaming ini haram dan perbuatan tersebut sangat tidak baik.
Penyanyi lagu Sungai Lui ini bagaimanapun memaklumkan dalam dirinya dalam keadaan sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan kronik walaupun mengalami perubahan saiz fizikal.
"Mungkin mereka risaukan kesihatan saya. Jadi saya nak beritahu semua orang yang saya sihat sahaja Alhamdulillah. Tidak mempunyai sebarang penyakit kronik" katanya.
Aizat mengingatkan orang ramai untuk segera menghentikan body shaming dan bersikap lebih matang dalam berkata-kata ataupun gurauan kerana tidak semua orang dapat menerimanya sebagai melucukan tambah-tambah lagi kepada orang yang tidak dikenali.
Sumber : OhMyMedia