Doktor Sahkan Anak Autism Didera Sampai Lebam, Pusat Terapi Lepas Tangan

GAYA HIDUP
July 29, 2022 - 05:17 PM


Seorang suri rumah terkilan dan sedih apabila anak istimewanya yang dihantar menjalani terapi menjadi mangsa dera di sebuah Pusat Terapi berbayar di sebuah universiti awam di Skudai, di sini, sejak awal tahun ini.

Nik Huzaiwati Husin, 33, berkata, penderaan itu bukan sahaja mendatangkan kesakitan pada fizikal kepada anaknya Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, malah kecederaan mental terhadap kanak-kanak itu.

“Kejadian yang berlaku itu menyebabkan Abrisam menjadi trauma, hampir setiap malam dia akan terbangun dari tidur sekitar pukul 1 pagi dan akan berjaga sehingga pukul  4.30 pagi.

“Adakalanya dia menangis seorang diri tanpa tahu apa puncanya. Sedang kami berusaha sedaya upaya memberikan rawatan terbaik buat Abrisam, memori hitam ini yang ditinggalkan kepada anak kecik ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Nik Huzaiwati Husin berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki perkara itu kerana sudah lama menghantar anak sulungnya yang di diagnosis ‘mild autism’ untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit sejak November 2019.

Dia yang tinggal di Pulai Sri Perdana berkata, apabila kesan lebam dan cedera di badan semakin ketara sejak awal tahun ini, keluarganya mula merasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku terhadap anak istimewanya itu.

“Apabila bertanyakan kepada guru di pusat terapi mengenai kesan itu, jawabnya ia disebabkan aktiviti di pusat berkenaan. Pada awalnya saya mempercayai kata-kata mereka sehinggalah kesan kecederaan itu semakin teruk seperti nampak kesan penampar di pipi.

“Masa tu kami sudah mula syak Abrisam didera, sebab jelas nampak kesan tapak tangan dan penjelasan yang diberikan kesemuanya tidak masuk akal. Hati saya berat sangat hendak terima alasan mereka”, katanya.

Insiden yang berlaku pada 7 Julai lalu menyebabkan ibu kepada dua orang anak itu hilang pertimbangan setelah mendapati kesan lebam kelihatan di bahu kiri serta kesan cubitan di dada anaknya.

Dia bersama suami membawa Abrisam ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai pada keesokkan hari bagi mendapatkan pandangan pakar mengenai kecederaan tersebut.

“Doktor mengesahkan kecederaan Abrisam serius akibat dera dan bukan kerana aktiviti seperti dimaklumkan. Susulan itu, saya membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai pada hari sama.

“Saya bawa kes anak ini mengikut prosedur. Polis minta kami bawa anak dan rujuk ke Pakar kanak-kanak di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada 24 Julai lalu dan laporan menunjukkan bahawa anak saya disahkan didera (Alleged Physical Abuse by Therapy),” katanya.

Jelasnya, Ketua Ahli Terapi terbabit turut mengakui bahawa peralatan yang digunakan di pusat terapi itu tidak akan membahayakan kanak-kanak.

“Mereka juga mengakui kaedah dan cara kerja yang dibuat ahli terapi salah. Mereka melihat kecederaan pada Abrisam, besi tidak akan hasilkan kecederaan seperti kesan penampar pada wajah anak,” katanya.

Katanya, hal itu sukar dibuktikan kerana pusat terapi berkenaan tidak dilengkapi pengawasan televisyen litar tertutup (CCTV) dengan alasan belum pasang dan dalam perancangan untuk berpindah.

Destination: