Jom Bayar Zakat Fitrah Ikut Harga Beras Yang Dimakan!

GAYA HIDUP
May 23, 2019 - 12:00 PM


Selain berpuasa di bulan Ramadhan, kita sebagai orang Islam turut diwajibkan untuk menunaikan zakat fitrah.

Tujuannya adalah supaya sumbangan kita itu boleh diagihkan kepada golongan yang layak menerima sebelum menjelang Hari Raya.

Seiiring kemajuan teknologi dan kecanggihan telefon pintar, selain pembayaran kepada amil yang berkuasa anda juga boleh membayar zakat fitrah melalui ‘online banking’ yang disediakan oleh Pusat-Pusat Pungutan Zakat Negeri.

Tahun ini, kesemua negeri-negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak telah menetapkan zakat fitrah pada kadar RM7 seorang. 

Namun bagi golongan yang berkemampuan dan ingin membuat lebih amal jariah, kini anda boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan oleh diri dan tanggungan.

Macam mana pula tu, kan? Jom ikuti penjelasan yang diberikan oleh Lembaga Zakat Selangor mengenai 'Kempen Galakan, Jom Bayar Zakat Fitrah Ikut Harga Beras Yang Dimakan' bagi tahun 2019 / 1440H.

1. Apakah maksud “bayaran zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan”?

Bermaksud bayaran zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan oleh individu dan keluarga.

Ini bermaksud, kalau kita biasa makan beras yang lebih bermutu selain beras biasa (seperti beras wangi, beras basmati, beras perang dan sebagainya), kita digalakkan untuk membayar kadar zakat yang lebih tinggi sedikit nilainya.

Boleh rujuk kadar zakat di setiap negeri seperti dalam infografik di bawah.

 

2. Apakah hukum dan dalil galakan individu yang ingin membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan?

Hukumnya sunat dan dalil galakan individu yang ingin membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW.

“Dari Abi Sa’id Al-Khudri ra : Sesungguhnya kami di zaman Rasulullah SAW memberinya (membayar zakat fitrah) satu sha’ dari makanan yang dimakan, satu sha’ dari kurma.” (Sahih Bukhari)

3. Kenapa kita digalakan membayar zakat fitrah mengikut harga beras dimakan?

Kita digalakan membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan kerana ianya merupakan kebajikan bagi golongan yang berkemampuan dan lebihan daripada zakat fitrah tersebut akan disalurkan kepada golongan fakir dan miskin.

Firman Allah: “Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya”. (Al Baqarah:184)

4. Bolehkah saya membayar zakat fitrah mengikut kadar umum RM7 walaupun saya berkemampuan untuk membayar lebih mengikut harga beras dimakan?

Kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7.00 sebagai galakan sahaja dan TIADA PAKSAAN kepada pengeluar zakat.

Maka dibolehkan membayar mengikut kadar minimum yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri masing-masing.

5. Bagaimanakah kaedah kiraan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan?

Ada negeri yang menetapkan 2 kadar zakat fitrah seperti Johor (RM7 & RM10) manakala Melaka (RM7 & RM14).

Sementara bagi Selangor, Kedah dan Perak, masing-masing menetapkan 3 kadar zakat fitrah iaitu sebanyak RM7, RM14 dan RM21 setiap seorang.

Berikut contoh maklumat zakat fitrah mengikut harga dan jenis beras yang tberada di pasaran.

6. Berapakah bayaran zakat fitrah sekiranya terdapat ahli keluarga makan beras melebihi kadar RM7 atas sebab kesihatan?

Kadar bayaran zakat fitrah bagi ahli keluarga tersebut mengikut kadar umum iaitu RM7.

 

WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH

Harus – Bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan

Wajib –  Selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan

Waktu Afdhal – Selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidilfitri

Makruh – Selepas sembahyang sunat Aidilfitri sehingga sebelum terbenam matahari

Haram – Selepas terbenam matahari pada hari raya Aidilfitri

 

SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.