Siapa Sangka Tinjauan Mendapati Lebih Ramai Yang Risau Tentang Situasi Kewangan Berbanding Kesihatan Ketika Ini

GAYA HIDUP
June 17, 2021 - 05:21 PM


 

Tatkala situasi pandemik sekarang ni, memang banyak perkara yang berlaku diluar jangkaan, dan banyak juga perkara yang kini berada diluar kawalan sesiapa, jadi bukan sahaja individu, malah syarikat-syarikat besar sekalipun turut berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan kerana risau akan kerugian yang bakal berlaku.

Hidup pula kini seperti dikepungi virus dengan kadar jangkitan yang beribu-ribu, jadi tidak hairan jika ramai yang menjalani kehidupan harian dengan langkah yang lebih berhati-hati kerana takut akan kebarangkalian jangkitan berlaku kepada diri sendiri. 

Sebenarnya min sendiri menjangkakan yang lebih ramai akan risau tentang kesihatan mereka pada waktu kini, namun tinjauan yang dilakukan Employment Hero menemukan dapatan yang sebaliknya. Tinjauan tersebut dilakukan terhadap lebih 1,000 majikan, dan juga pekerja rakyat Malaysia dan mendapati 71% daripada pekerja kini lebih risau tentang situasi kewangan mereka. 

Manakala 66% pula risau akan kesihatan fizikal, dan 62% risau akan kesihatan mental mereka. Namun, walaupun kerisauan terhadap kesihatan mental berada lebih rendah berbanding situasi kewangan, Malaysia tetap berada di tangga yang paling tinggi berbanding dengan Singapore (50%), UK (49%), New Zealand (46%), dan Australia (46%). 

Kebanyakan daripada majikan yang menyertai tinjauan tersebut (74%) mempercayai bahawa organsasi mereka memberikan sokongan yang baik yang mampu membantu pekerja apabila masalah berkenaan dengan masalah mental timbul, namun hanya 56% pekerja sahaja yang bersetuju.  

Masih ramai rakyat Malaysia yang 'memohon' agar organisasi mereka mengamalkan etika kerja yang menitikberatkan keseimbangan antara hidup dan kerja, selain memberikan servis kaunseling, dan menawarkan perlindungan kesihatan. 

Kajian tersebut turut mendapati bahawa 64% perkerja merasakan peningkatan terhadap tekanan selepas terpaksa berkerja dari rumah disebabkan pandemik. Jadi sekiranya majikan mempunyai pelan untuk teruskan berkerja dari rumah pasca-pandemik, keseimbangan antara hidup dan kerja perlu dititikberatkan demi kesejahteraan kesihatan mental pekerja.