Walaupun Dah Boleh 'Dine-In', Rakyat Malaysia Kekalkan Amalan 'Tapau' Sebagai Norma Baharu

GAYA HIDUP
August 23, 2021 - 02:09 PM


Ibarat tiada beza antara Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara apabila kesemuanya kini dibenarkan makan di dalam kedai sekiranya lengkap vaksin. 

Namun, rakyat Malaysia kini lebih berwaspada, dan makan di rumah menjadi norma baharu kerana orang ramai dilihat lebih memilih untuk membungkus makanan berbanding menikmatinya di restoran walaupun kemudahan itu kini dibenarkan.

Antara faktor yang menyebabkan ramai tidak teruja untuk makan di dalam kedai adalah keselamatan yang dititikberatkan khususnya di Selangor apabila kes harian Covid-19 di negeri itu masih melepasi para 5,000 kes dan situasi sedemikian sememangnya merisaukan.

Dalam sebuah tinjauan yang dijalankan Utusan Malaysia di Jalan Stesen, Klang, pengusaha sebuah restoran tumpuan penduduk tempatan di situ enggan membenarkan pelanggan makan di kedai, sebaliknya lebih menggalakkan mereka membawa pulang seperti sebelum ini.

Tinjauan tersebut turut mendapati tempat duduk di dua buah restoran masih lengang walaupun pekerja sudah menyusun kembali meja dan kerusi bagi menerima kedatangan pelanggan.

Hazril Jamaludin, 40, yang mengunjungi sebuah restoran di Seksyen 13 mengakui masih bimbang walaupun kerajaan sudah membenarkan penduduk lengkap dua dos vaksin boleh makan di kedai.

“Saya lihat kebanyakan rakyat Malaysia menjadikan konsep makan di rumah sebagai norma baharu kepada mereka berbanding makan di restoran.

“Apapun, keputusan yang dibuat Kerajaan Pusat ini baik kepada pengusaha sektor ini supaya mereka dapat bangkit daripada kerugian yang dialami mereka sebelum ini,” katanya.

Kemudahan seperti dine-in antara yang dibenarkan bagi negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun hanya pelanggan menerima vaksinasi Covid-19 lengkap iaitu dua dos dibenarkan.

Dalam pada itu, seorang pelanggan sebuah restoran di Seksyen 9, Muhaimin Yussof, 33, pula menganggap pengumuman itu sebagai suatu yang menggembirakan bagi mereka yang gemar makan di kedai.

“Sebagai seorang yang suka makan, saya lebih suka makan di kedai berbanding di rumah sekiranya membeli makanan di restoran. Selepas ini, saya akan cari kedai masakan Thailand dan Indonesia yang boleh dine-in,” ujarnya.