Itinerari 4 Hari 3 Malam Bercuti Ke Labuan
Pada 27 hingga 30 September lepas, kami Team Rileklah telah dibawa oleh pihak Tourism Malaysia ke Wilayah Persekutuan Labuan bersama 10 lagi penggiat media sosial dari Semenanjung Malaysia dan 4 wakil media sosial Sabah untuk menyertai "Media Fam Trip" bersempena sambutan Pesta Kebudayaan Borneo 2019!
Selepas bercuti 4 hari 3 malam di 'Mutiara Borneo' itu, ternyata semua sangkaan yang menyatakan Labuan merupakan sebuah bandar pelabuhan yang membosankan meleset sama sekali.
Banyak tempat-tempat menarik dan pelbagai aktiviti best yang boleh kita lakukan di sana, malah ianya suatu pakej percutian yang lengkap dari segi pengalaman, penginapan, makanan dan juga tarikan yang jarang diketahui oleh pelancong terutama pengunjung dari Semenanjung.
Di sini dikongsikan itenerary sepanjang 4 hari 3 malam kami berada di Labuan, yang telah disusun atur oleh pihak Tourism Malaysia!
DAY 1
8:35 Pagi - Berlepas dari KLIA ke Labuan (MH 2608)
11:00 Pagi - Tiba di Lapangan Terbang Labuan
11:30 Pagi - Bergerak ke Kampung Air Patau-Patau 2 untuk makan tengah hari dan melakukan lawatan ke salah sebuah Homestay Atas Air milik Puan Sahadiah @ Lizah. Di sini rombongan kami diajar untuk membuat sendiri makanan tradisional masyarakat Melayu Brunei iaitu "Ambuyat". Sedap rasa ambuyat ni lagi-lagi kalau dicampur dengan air asam dan dimakan bersama lauk ikan.
2:00 Petang - Bertolak ke Kampung Bebuloh Laut untuk melawat sebuah perusahaan ikan bilis terkenal di Labuan yang menggunakan teknik "Bagang" iaitu Salinang Maju Enterprise. Di sini korang akan dapat melihat cara pemprosesan ikan bilis secara tradisional yang diusahakan oleh penduduk setempat. Sebelum balik boleh beli ikan bilis dan produk sambal ikan bilis mereka yang sangat sedap dimakan bersama roti atau nasi.
3:00 Petang - Bergerak ke COBSEA Monumen, Taman Damai & Surrender Point (semua lokasi tarikan ini adalah berdekatan dan bersebelahan antara satu sama lain)
4.30 Petang - Check-in di Palm Beach Resort & Spa
5.30 Petang - Bersantai di tepi pantai resort sambil menikmati hidangan pizza istimewa yang dibakar menggunakan ketuhar batu dan kayu bakar bersama air kelapa. Memang best feeling dia lagi-lagi bila kita tengok juga pemandangan matahari terbenam di tepi pantai.
7:30 Malam - Makan Malam di Restoran Mr Crab Seafood & Steamboat
9:30 Malam - Balik ke hotel
DAY 2
7:00 Pagi - Sarapan di hotel & check-out
7:30 Pagi - Berlepas ke Labuan Marina untuk menaiki bot penumpang ke Pulau Rusukan Besar (Untouched Wonderland)
8:15 Pagi - Memulakan perjalanan dengan bot
9:00 Pagi - Tiba di Pulau Rusukan Besar dan memulakan aktiviti seperti berenang, snorkelling, melawat Santuari Penyu dan melihat bilik-bilik penginapan yang disediakan di pulau tersebut.
10:30 Pagi - Makan tengah hari
11:30 Pagi - Berlepas pulang ke Labuan Marina. Dalam perjalanan menaiki bot, kami dibawa singgah ke Beting Pasir Pulau Kuraman yang menjadi sempadan Labuan-Brunei, di mana di sebelah kiri beting adalah Labuan dan sebelah kanannya merupakan Negara Brunei.
12:30 Tengah Hari - Check-in Hotel Lazenda
2:30 Petang - Bergerak ke Muzium Labuan
3:30 Petang - Melawat Dataran Labuan
4:30 Petang - Bergerak ke Ujana Kewangan untuk menyertai "Borneo Arts Festival 2019"
5:30 Petang - Bertolak ke Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan untuk menaiki perahu layar atau lebih dikenali sebagai "PARAHU LARAI". RM15 sahaja bayaran untuk seorang dewaasa bagi tempoh pelayaran selama 30 minit.
7:00 Malam - Makan malam di Hotel Grand Dorsett Labuan
9:00 Malam - Bergerak ke Ujana Kewangan untuk melihat persembahan kesenian di "Bornoe Arts Festival 2019"
11:30 Malam - Bermalam di Hotel Lazenda
DAY 3
7:00 Pagi - Sarapan
7:30 Pagi - Bergerak ke The Chimney dan menelusuri Chimney Trail dalam 20 minit untuk melawat Gedung Ubat. Untuk aktiviti ini anda disarankan untuk berpakaian dan berkasut sukan serta jangan lupa topi atau payung sebab keadaan cuaca yang panas serta diakhiri dengan lawatan ke dalam Muzium Chimney yang berhawa dingin.
10:00 Pagi - Bertolak ke Taman Burung Labuan.
11:30 Pagi - Melawat sebuah perusahaan produk tempatan iaitu DME Minyak Kelapa Dara di Kampung Bukit Kuda untuk melihat sendiri cara-cara pemprosesan minyak kelapa dara menggunakan pelbagai peralatan moden yang dicipta oleh pemiliknya. Jangan lupa bawa balik minyak kelapa dara keluaran DME yang kaya dengan khasiat semulajadi. Biskut kelapa dia wajib korang try...memang terangkat kami tak berhenti mengunyah biskut tu! Hehehe....
1:00 Petang - Makan tengah hari di Mortar Cafe di bawah hotel yang kami duduk iaitu Hotel Lazenda
3:00 Petang - Membeli-belah di kedai-kedai bebas cukai di Ujana Kewangan iaitu satu-satunya pusat membeli-belah di Labuan.
6:00 Petang - Makan Malam di Restoran Mawilla Yatch Club dengan pemandangan tepi pantai
8:00 Malam - Menghadiri Malam Apresiasi Borneo / malam penutup kepada Borneo Arts Festival 2019 yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
11:30 Malam - Bergerak balik ke hotel
DAY 4
8:30 Pagi - Sarapan & Check-Out
9:30 Pagi - Bergambar kenangan di lukisan mural lagenda pemain bola sepak, Datuk Hassan Sani yang juga merupakan anak jati Labuan, terletak bersebelahan Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
10:00 Pagi - Bergerak pulang ke Lapangan Terbang Labuan