10 Tempat Menarik Sekitar Kuantan, Pahang
Bila sebut nak bercuti ke Kuantan, mesti ada ‘suara – suara’ kecil kawan – kawan korang yang tertawakan rancangan korang tu kan? Katanya; tak ada apa yang menarik di Kuantan. Salah! Sebenarnya, di Kuantan, banyak tempat menarik dan ianya lebih berbaloi dari segi perbelanjaan untuk kesana dan sebagainya.
Kalau nak ikut kedudukan geografi, Kuantan berada di bahagian Pantai Timur yang kita ketahui perairannya adalah Laut China Selatan, dan kebanyakan pantai yang berada di bahagian sini, lebih cantik kerana ianya ‘laut lepas’ dan kurang sibuk jika nak dibandingkan dengan laut di bahagian Selat Melaka.
Jika korang tidak pernah terlintas untuk ke Kuantan, cuba fikirkan balik; tengok tempat – tempat menarik yang ada di Kuantan ini.
#1. Teluk Chempedak
Terletak 5 kilometer dari pusat bandar Kuantan, Teluk Chempedak merupakan salah sebuah pantai tercantik di Malaysia dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan disini.
Pasir memutih, air laut yang biru, kena pulak angin pantai, memang korang patut habiskan masa dekat Teluk Chempedak ni kalau ke Kuantan.
#2. Air Terjun Pelangi
Air Terjun Pelangi atau Rainbow Waterfall ini boleh dikategorikan sebagai hidden gem di Kuantan. Untuk ke sini, kena memandu sekitar 1 jam 44 minit ke Sungai Lembing. Tapi, belum sampai lagi, perlu naik kereta pacuan 4 roda untuk rampai ke lokasi dan korang kena hiking dalam 30 minit untuk sampai.
Difahamkan, bayaran untuk 4WD tu RM60, warna pelangi ni sebenarnya kelihatan disebabkan sinaran matahari, dan macam eksperimen Sains dekat sekolah rendah dulu. Jadi, kalau cuaca mendung, mungkin tak nampak ‘pelangi’.
Walaupun penat hiking, bila tiba di lokasi, secara automatik penat akan hilang. Percayalah.
Tips : Musim ‘kering’ Februari – Ogos air kurang, jadi berkemungkinan besar tak nampak pelangi. Nak pelangi, datang awal.
#3. Tai Pei Tong – Lombong Bijih Timah Sungai Lembing
Fakta : Lombong bijih timah bawah tanah Sungai Lembing ini pernah menjadi antara yang terpanjang dan terdalam di dunia. Kalau nak diikutkan, jarak terowong ni lagi jauh daripada Kuantan ke Kuala Lumpur dan terdapat 14 buah terowong berlainan.
Warga tempatan kenal tempat ni dengan nama Tai Pei Tong. Untuk ‘melawat’ ke lombong ni, kita akan mula dengan menaiki kereta api sejauh 80 meter sebelum kita dibenarkan berjalan kaki. Tapi bukan keseluruhan terowong lah, sejauh 520 meter macam tu.
Alamat; Jalan Muzium Sungai Lembing. Lombong ni dibuka setiap hari dari 9 pagi sampai 6 petang.
#4. Pantai Balok
Menarik tentang Pantai Balok ini adalah tarikan aktiviti sukan luncur angin dan sebenarnya ia berada dalam golongan 10 pantai terbaik untuk aktiviti luncur angin dan sebagainya.
Kebiasaannya, pantai ini akan penuh dengan pelancong yang ingin cuba sendiri pengalaman melakukan aktiviti lasak wind – surfing atau kite surfing.
#5.Masjid Sultan Ahmad Shah
Siap dibina pada 1993, Masjid Sultan Ahmad Shah merupakan masjid yang terbesar di Pahang dan mampu memuatkan 10,000 orang.
Terletak di Jalan Mahkota, masjid ini terletak di tengah – tengah pusat bisnes yang sibuk. Empat menara masjid diperbuat dari marmar khas dan memaparkan seni binaan zaman empayar Uthmaniah namun menggunakan teknologi dan bahan moden.
#6. Kompleks Pengembangan Tenun Pahang
Kompleks Pengembangan Tenun Pahang Diraja Sultan Haji Ahmad Shah yang terletak di Kampung Soi ini merupakan inisiatif untuk memaju dan membangaunkan Tenun Pahang Diraja bagi memastikan Kain Tenun Pahang Diraja sentiasa kekal menjadi warisan seni Pahang.
Selain memartabatkan produk tenun, kompleks ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan pengeluaran serta kualiti Kain Tenun Pahang.
Galeri ini mempamerkan fabrik tenunan tangan yang mempunyai pelbagai corak dan warna, menariknya korang boleh beli untuk dibawa balik dan ia boleh di ‘custom-made’.
Waktu operasi : Isnin – Sabtu (10 pagi – 5 petang )
#7. Bukit Panorama
Terletak di kawasan Sungai Lembing, jarak perjalanan dari Kuantan untuk ke sini kurang lebih 45 kilometer dan pendakian dilakukan menggunakan tangga. Lebih kurang 1,000 anak tangga sebelum boleh sampai ke puncak.
Untuk naik ke atas, sekitar 30 hingga 45 minit lah jugak untuk ke atas. Nak dapatkan waktu ‘perfect’ adalah 5.45 pagi mula mendaki.
#8. Tanjung Lumpur
Terletak di muara Sungai Kuantan, Tanjung Lumpur adalah perkampungan nelayan tradisional dan perjalanan dari bandar Kuantan ke sini adalah sejauh 2 kilometer. Tanjung lumpur ni, kalau nak diikutkan, terkenal dengan ikan bakar, makanan laut dan lain – lain.
Bila dah ada di perkampungan nelayan ni, bolehlah dapatkan ikan segar terus dari diorang.
#9. Air Terjun Sungai Pandan
Setengah jam perjalanan dari pusat bandar, korang boleh jumpa lagi satu air terjun yang ada di Kuantan ni. Tak sangka rupanya, di Kuantan ada banyak air terjun.
Aktiviti menarik yang boleh dilakukan termasuklah hiking, berkhemah, berkelah dan kalau itu semua tak cukup menarik, boleh melawat pusat konservasi Periuk Kera
#10. Pantai Batu Hitam
Sebuah lagi pantai di Kuantan ini terletak kira – kira 10 kilometer dari kawasan pusat bandar dan dijadikan cerita, namanya diambil bersempena longgokan atau adanya batu bewarna hitam di tepi pantai ini.
Dikhabarkan, batu ini adalah hasil daripada letusan gunung berapi.
Oh, selain keunikan cerita batu hitam ni, pantai ini juga sesuai untuk mandi manda ye…
Sumber | Tourism Pahang Feature Photo Credit | Flickr - Alson Fong