6 Sebab Kenapa Korang Kena 'Ber-Vitamin-Sea' Ke Pulau Pangkor Tahun Ini!

TRAVEL
February 04, 2020 - 06:24 PM


Bagi warga kota yang inginkan percutian pulau tetapi tak nak yang terpaksa menempuh perjalanan jauh berjam-jam sehingga ke Terengganu atau Sabah --- mungkin Pulau Pangkor, Perak adalah pilihan terbaik!

Selain dah digazetkan sebagai Pulau Bebas Cukai sejak 1 Januari lalu, sebenarnya tahun ini juga pulau yang terkenal dengan ikan bilis mata biru dan deretan teksi berwarna 'pink' ada banyak sisi pembaharuan menarik yang akan buat korang excited untuk bercuti  lagi ke sana.

Ini faktor dan alasan kenapa korang perlu masukkan Pulau Pangkor ke dalam 'bucket list' sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) jika korang nak "ber-vitamin-sea".

1) Pemandangan Pantai Yang Memukau

Terletak kira-kira 90 kilometer dari barat daya Ipoh dan tujuh batu nautika dari Jeti Lumut, pelancong boleh memilih menyeberangi pulau itu dengan menggunakan perkhidmatan feri di Jeti Lumut atau Jeti Marina Islands, Teluk Muroh.

Feri di dua jeti itu menggunakan perkhidmatan sama cuma yang membezakannya adalah tempoh perjalanan hanya 45 minit dari pekan Lumut atau 10 minit dari Jeti Marina Island.

Antara tarikan di daerah ini adalah Pantai Pasir Bogak, Pantai Teluk Nipah, Teluk Ketapang, Pantai Coral dan Pantai Puteri Dewi kerana bersih, indah dan tenang.

Destinasi paling digemari pelancong ialah Pantai Teluk Nipah dan Pantai Coral di Nipah Bay kerana mempunyai gugusan pulau kecil seperti Pulau Giam dan Pulau Mentagor.

Di situ pilihan terbaik melakukan aktiviti menyelam dan snorkeling dikelilingi batu karang, ikan dan timun laut, malah di Pulau Giam pengunjung juga berkesempatan memberi makan kepada ikan.

2) Lokasi Peninggalan Sejarah

Bagi yang sukakan sejarah dan barang peninggalan ratusan tahun lalu, Pulau Pangkor turut mempunyai Kota Belanda dan Batu Bersurat di Kampung Teluk Gedong yang boleh korang kunjungi dan spot cantik juga untuk bergambar Instagram.

3) Masjid Terapung Pertama Di Perak Ada Di Pangkor

Walaupun statusnya adalah sebuah pulau percutian, namun Pangkor mempunyai sebuah monumen baru yang melambangkan martabat seni bina Islam dalam pembinaan Masjid Al-Badr Seribu Selawat atau lebih popular Masjid 1000 Selawat!

Menariknya masjid ini juga yang pertama dibina berkonsepkan sebuah masjid terapung di Negeri Perak.

4) Tarikan Lain Selain Aktiviti Laut

Jika bercuti ke pulau peranginan selalunya kita akan banyak menghabiskan masa hanya di lautan dengan pelbagai aktiviti air seperti berenang, snorkeling atau diving.

Tetapi jika ke Pulau Pangkor, ada banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan di daratan antaranya Galeri Pangkor, Taman Tarikan Foo Ling Kong dan Sunset View Chalet Teluk Nipah untuk aktiviti memberi makan burung enggang, pembuatan bot dan perkampungan nelayan di Kampung Teluk Dalam.

5) Juadah 'Signature' Pangkor Wajib Makan

Pangkor juga terkenal dengan juadah popular yang tidak dapat ditemui di tempat lain, iaitu laksa mi atau 'laksa mi Pangkoq' yang tidak menggunakan mi kuning atau laksa biasa tetapi adunan yang dibuat khas untuk menu itu.

Lebih istimewa, laksa mi Pangkoq dimakan bersama sup jernih berasaskan ikan, udang atau ketam bersama sambal tumis merah, hirisan kacang panjang dan lobak masin. Sampai sana korang wajib cari dan try juadah istimewa Pangkor ni tau!

6) Syurga Cenderamata Berasaskan Hasil Laut 

Biasanya kalau ke pulau-pulau, cenderamata yang boleh kita beli selalunya hanyalah barangan-barangan pantai atau paling tidak pun fridge magnet.

Tetapi kunjungan ke Pulau Pangkor korang takkan lengkap kalau korang tak membeli hasil laut seperti ikan bilis, sate ikan, sotong kering, ikan pedas dan pelbagai produk berasaskan hasil laut.

 

Destination: