Cantiknya 'Taj Mahal Malaysia' Ni, Siapa Sangka Ia Hasil Wakaf Jutawan Bank!

TRAVEL
October 18, 2019 - 12:35 PM


Jika Taj Mahal di India dibina sebagai simbolik rasa cinta suami kepada isterinya, namun berbeza dengan 'Taj Mahal Malaysia' yang diberi jolokan kepada Masjid Sri Sendayan, Seremban apabila ia dibina dan diwakafkan oleh seorang jutawan bank sebagai tanda cintanya kepada agama Allah.

Siapa yang tidak terpesona dengan keindahan reka bentuk dan seni bina Islam yang ada pada masjid ini sejak ia dibuka pada bulan lalu!

Masjid yang mula dibina pada tahun 2015 di atas tanah seluas 4.5 ekar melalui konsep wakaf itu dilihat benar-benar seperti Taj Mahal Malaysia apatah lagi setelah seni binanya didominasi rekaan negara Timur Tengah yang menakjubkan.

Tak hairanlah masjid itu tidak putus-putus dikunjungi dari pagi hingga ke malam yang bukan sekadar mahu menyaksikan keindahannya, tetapi turut menjadi sebahagian daripada jemaah untuk menunaikan solat.

Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Seremban itu, diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain.

Kalau korang nak tahu, masjid ini sebenarnya merupakan masjid ketiga yang diwakafkan dermawan itu.

Ini nama-nama masjid yang pernah diwakafkan beliau sebelum ini :-

Masjid Aishah Sg. Menghulu, Langkawi

1) Masjid yang pertama dibina di Langkawi dan dinamakan atas nama ibunya iaitu Masjid Aishah Sg. Menghulu.

Masjid Hussain Seremban 2

2) Masjid Hussain Seremban 2 atau digelar "Masjid Putih" yang dibina dengan kos RM22.6 juta pada tahun 2012. Nama Masjid ini diberi sempena nama bapanya "Hussain".

3) Masjid Sri Sendayan yang dibina dengan kos  lebih RM100 juta.

Masjid Sri Sendayan itu mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, sekali gus menjadikan ia masjid terbesar di Negeri Sembilan.

Kebanyakan seni binanya ditempah khas dari luar negara termasuk ukiran kayu pada dinding ruang solat, tulisan khat, penggunaan saduran berwarna emas dan bongkah jubin mihrab yang berhampiran mimbar.

Lebih istimewa, hiasan tulisan khat masjid itu ditulis oleh tokoh khat paling agung di dunia yang berasal dari Turki iaitu Sheikh Hassan Celebi.

Ramai yang menyamakan masjid ini dengan Taj Mahal dan ada juga mengatakan ia seperti Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah, hingga menyebabkan banyak pengunjung tempatan dan pelancong datang bertali arus bagi melihat sendiri keindahan masjid ini.

Bayangkanlah, semasa hari pertama masjid itu dibuka untuk solat Jumaat, lebih 5,000 jemaah yang hadir bukan sahaja dari Negeri Sembilan tetapi juga dari Melaka, Putrajaya dan Selangor.

Masjid itu mempunyai tiga dewan solat iaitu dewan solat utama yang mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah, dewan solat kedua (800) dan dewan solat wanita (800 jemaah).

Ia turut dilengkapi dengan bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, bangunan pentadbiran, dewan makan, enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid.

P/S: Cantik betul Masjid Sri Sendayan ni, kan? Siapa yang pernah datang dan bersolat di sini? Min pun nak lawat la 2 masjid dekat Seremban hasil sifat dermawan orang kaya dunia akhirat ini.

Sumber: Sinar Harian & Kredit Foto : Farhan Che Hassan

Destination: