Dah Macam Cameron & Kundasang! ‘Borneo Highlands’ - Hidden Gem Yang Nyaman & Selesa Di Kuching, Sarawak
TRAVELJika anda berkunjung ke negeri terbesar di Malaysia ini, pastinya anda teringat dengan monumen kucing gergasi yang tersergam indah, suasana Kuching Waterfront yang meriah serta Kampung Budaya Sarawak yang kaya dengan keindahan alam serta mempamerkan keunikan masyarakat di sana.
Tiga destinasi popular di bandar Kuching, Sarawak ini menjadi tumpuan ramai pelancong dalam dan luar negeri.
Pastinya anda tidak menyangka di negeri yang mendapat jolokan Bumi Kenyalang ini mempunyai destinasi yang atmosferanya persis Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang, Sabah.
Sejuk, nyaman dan selesa -- kawasan tanah tinggi yang diberi nama Borneo Highlands ini adalah hidden gem yang boleh di eksplorasi jika anda berkunjung dan melancong di Kuching, Sarawak dengan suhu sekitar 16 sehingga 28 darjah celsius!
Berada lebih kurang 80 kilometer dari pusat bandar, Borneo Highlands adalah destinasi yang paling sesuai untuk anda kunjungi jika anda mahukan sesuatu yang berbeza berbanding tempat-tempat tumpuan pelancongan lain di Sarawak.
Tenang dan damai, Borneo Highlands yang terletak pada ketinggian 1,000 meter di atas paras laut ini berdekatan dengan sempadan Sarawak-Kalimantan dan ia menyajikan pengunjung dengan panorama menawan hutan hujan tropika.
Di sana, ada sebuah pusat penginapan yang menarik iaitu Borneo Highlands Resort yang menawarkan pelbagai kemudahan untuk anda berkunjung dan bermalam di sana.
Jangan risau, tempat ini semestinya tak sesak seperti Cameron Highlands kerana hanya ada 40 bilik yang ada di Borneo Highlands Resort serta beberapa banglo persendirian ada di sana.
Selain membuatkan pelancong terpukau dengan keindahan serta kehijauan kawasan pergunungan Borneo yang memukau, pelancong boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik di sini.
Antara tempat memukau yang berada di kawasan Borneo Highlands Resort adalah Kalimantan Lookout Point, Taman Bunga, Taman Herba, Air Terjun dan banyak lagi serta anda boleh melakukan aktiviti berkelah, berkayak serta meredah hutan!
Bagi peminat sukan golf, anda boleh mengasah bakat di Hornbill Golf & Jungle Club. Kelab golf dengan 18 lubang ini membuatkan anda bermain sukan kegemaran sambil menikmati pemandangan indah dalam cuaca yang nyaman!
Menerusi carian di laman internet, Borneo Highlandss Resort masih lagi tidak dibuka kepada umum dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang wabak Covid-19.
Namun begitu, jangan lupa ‘save link’ mengenai hidden gem ini di telefon pintar anda dan apabila keadaan sudah mula reda, jadikan destinasi menarik ini sebagai salah satu destinasi pelancongan anda!
- Borneo Highlands Resort, Jalan Borneo Heights, 94200, Padawan, Kuching, Sarawak.
- http://www.borneoHighlandss.com.my/
- 019-828 0790
- Facebook & Instagram
Kredit foto & Sumber: HumairahHadi, MaiSinggah, MyMotivations, TempatMenarik, MLStudios & ILoveKCH.