Hidden Gem Di Hat Yai Dan Songkhla

TARIKAN
July 31, 2019 - 04:32 PM


Hat Yai dan Songkhla merupakan kawsan atau destinasi percutian yang terletak di selatan Thailand dan ianya agak dekat dengan pintu masuk darat Malaysia.

Kalau korang cari perkongsian itinerary ke Hat Yai atau Songkhla, pastinya lokasi macam Pantai Samila dan pasar terapung menjadi destinasi yang sering disebut – sebut dan boleh dikatakan ‘maintstream’. Jadi, ada tak lokasi selain yang dah selalu orang pergi?

Jawapannya ada! Bukan tak ada orang pergi, cuma tak ramai. Ini kitorang panggil hidden gem di Hat Yai, ataupun bahasa melayunya – Permata Tersembunyi Hatyai dan Songkhla!

#1. Khuan Chedi

Khuan Chedi adalah salah satu gunung yang ada di Hat Yai dan secara tepatnya ia terletak di kawasan Nakhon Si Tammarat – Nathavee dan mempunyai ketinggian 154 meter.

Di atas gunung ini terdapt sebuah kuil tetapi ramai yang ke sini untuk pemandangan awan yang sangat luar biasa. Ibarat ia terbentang macam laut. Kalau nak dapatkan pemandangan sunrise, kena mula naik seawal 4 pagi.

 

#2. Thale Noi Waterbird Park

Taman ini merupakan taman rizab atau kawasan ‘simpan’ yang terbesar di Thailand dan ianya adalah khas untuk burung yang berada di air. Terdapat kira-kira 180 spesis ‘burung air’ yang ada di sini.

Menariknya, korang boleh sewa bot panjang dan akan dibawa menyusuri kawasan paya berkenaan dan saksikan sendiri habitat semulajadi burung – burung ini. Perjalanan akan ambil masa 2 jam dan kadarnya adalah 450 Baht untuk sejam (RM60).

 

#3. Kolam Air Panas Khao Chaison

Terletak di kaki gunung Khai Chaison, air panas semula jadi ini merupakan tempat yang sering dikunjungi untuk mendapatkan ketenangan dan kurangkan ketegangan badan.

Suhu air disini sekitar 40 hingga 60 darjah, jadi untuk keselamatan dan kesihatan, jangan berendam (kalau tahan) lebih dariapda 15 minit lah.

 

#4. Ko Yo Island

Terletak 30 minit dari Hat Yai, Ko Yo sebenarnya adalah kepulauan nelayan yang ada di Tasik Songkhla. Ia sebenarnya popular dengan fabrik dan tekstil buatan tangan dan disebabkan ianya hanyalah perkampungan kecil, korang mungkin terlepas pandang.

Kalau minat pasal sejarah, boleh juga singgah ke Folklore Museum yang mempamerkan seni tradisional dan pasu – pasu antik. Ada yang mencapai umur 4,000 tahun tau!

 

#5. Air Terjun Ton Plio

Selalu masa bercuti, jarang kita jumpa tempat-tempat ‘nature’ macam ni. Lagi pulak kita berada di Thailand yang sememangnya terkenal dengan pantai, makanan dan lain – lain.

Ton Plio Waterfall ni terletak berdekatan dengan Tone Nga Chang, dan ia merupakan air terjun yang mempunyai 5 tingkat semuanya. Kalau minat hiking, inilah tempat yang patut korang tuju.

Ia terletak dalam taman yang dijaga, jadi boleh dikatakan tidak diketahui sangat dan tak ramai orang. Mungkin orang tempatan je. Bayaran masuk ada dikenakan iaitu; sekitar 200 Baht (RM27).

 

#6. Ton Nga Chang

Dikatakan, air terjun ini merupakan yang paling cantik dan indah di kawasan Selatan Thailand. Jumlah tingkat katanya ada 7 tetapi ramai akan berhenti di tingkat 4 kerana di sini pun dah menjanjikan pemandangan yang cantik.

Kalau nak lagi mencabar, cubalah naik sampai tingkat ke-7, tapi dengar -dengar, proses mendaki dia agak susah sikit.

Bayaran masuk 200 Baht juga kerana ia terletak di dalam kawasan Pelindungan Haiwan Liar Ton Nga Chang.

 

#7. Khao Nam Khang Historic Tunnel

Dalam banyak-banyak, destinasi ini boleh dikategorikan sebagai ‘dark tourism’ disebabkan nilai sejarah yang ada disebalik pembinaannya.

Tertetak di dalam Taman Negara Khao Nam Khang, terowong ini sebenarnya dibina pada tahun 1970 dan digunakan untuk persembunyian pihak komunis semasa perang British – Malaya.

Fakta : Negara Thailand adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak dijajah.

Jadi, kalau lepas ni ada perancangan nak ke Hat Yai, boleh cuba tuju ke salahs atu tempat ni ye… Nak pegi semua pun apa salahnya.

Destination: 
;