Indonesia Perkenalkan Kereta Api 'Sleeper' Baharu, Mewah & Eksklusif

June 13, 2019 - 11:21 AM


Siapa yang merancang atau berimpian untuk travel mengelilingi tanah Jawa, Indonesia -- kini korang boleh merealisasikannya dengan menaiki perkhidmatan pengangkutan ‘kereta api tidur’ baharu yang diberi nama "Luxury 2"!

Kereta api Luxury 2 merupakan generasi baru versi Luxury yang pernah dikeluarkan sebelum ini pada tahun 2018.

Meskipun tidak banyak perbezaan, terdapat beberapa kelebihan untuk Luxury 2 antaranya bilangan tempat duduk ditambah dan lebih banyak laluan perjalanan kereta api.

Dari segi kemudahan, Luxury 2 mempunyai kapasiti sebanyak 26 kerusi, manakala kereta api Luxury generasi pertama hanya menawarkan 18 kerusi.

Seperti generasi pertama, perkhidmatan eksklusif seperti dalam kapal terbang kelas perniagaan kini boleh dinikmati oleh penumpang kereta api Luxury 2.

Dalam Luxury 2, kerusi duduk boleh diregangkan hingga 140 darjah, boleh pusing beberapa sudut, mempunyai tempat sandar kaki, alas makan boleh dilipat, bantal, selimut, tuala muka, lampu baca serta dilengkapi televisyen, soket kuasa, port USB bagi membolehkan penumpang mengecas peranti elektronik mereka sepanjang perjalanan.

Luxury 2 menawarkan lima kali perjalanan kereta api dalam sehari untuk empat laluan iaitu :

Argo Lawu dan Argo Dwipangga untuk laluan Jakarta (Gambir) - Surakarta (Solo)

Taksaka untuk laluan Jakarta (Gambir) -Yogyakarta

Gajayana untuk laluan Jakarta (Gambir) - Malang 

Sistem kereta api di Indonesia juga berfungsi dengan baik menghubungkan semua bandar utama di Jawa termasuk Sumatera.

Malah, tawaran tiket kereta api yang murah, ruang lebih selesa dan berhawa dingin menjadikan Luxury 2 cara travel paling ideal untuk mengelilingi Jawa sambil menikmati pemandangan menakjubkan.

Selain itu, tempahan tiket kereta api di Indonesia sudah menggunakan sistem komputer dan boleh dibuat hingga 90 hari lebih awal.

Terdapat aplikasi mudah alih untuk membantu korang menempah tiket serta mendaftar masuk.

Harga tiket untuk ruang Luxury 2 ini bermula dari 750,000 Rupiah atau RM220 untuk berlepas pada 26 Mei hingga 26 Jun 2019 sepanjang tempoh promosi bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Tempahan boleh dilakukan pada semua saluran jualan rasmi Kereta Api Indonesia (KAI).

 

 

 

Destination: