Jambatan Bersejarah Bakal Jadi Tarikan Pelancong Ke Kuching

July 01, 2019 - 01:50 PM


Jika Terengganu mempunyai ikon pelancongan baharu iaitu Jambatan Angkat atau Draw Bridge,
Sarawak juga tak kurang hebatnya apabila bakal memiliki tarikan pelancongannya tersendiri iaitu 'Jambatan Gantung Satok'.

Jambatan gantung pejalan kaki merentangi Sungai Sarawak sepanjang 213 meter itu kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang 18 September depan.

Sebenarnya Jambatan Gantung Satok ini pernah dibina pada tahun 1926 ketika zaman pemerintahan kerajaan Brooke.

Namun, ia telah runtuh pada Oktober 2004 dan Kerajaan Negeri Sarawak membuat keputusan untuk 'membina semula' jambatan gantung berkenaan kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi, selain menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Bandaraya Kuching!

Jambatan baharu dengan lebar tiga meter itu dibina mengikut piawaian British Standard (BS), termasuk menara dan blok utama bagi menempatkan kabel penggantungan dengan kos bernilai RM8.5 juta.

Apabila siap nanti Jambatan Gantung Satok akan memudahkan pergerakan orang ramai dari kawasan Satok ke Medan Niaga Satok yang juga merupakan tarikan pelancongan di tebing Sungai Sarawak.

Sumber: BERNAMA

 

Destination: