LuaSempit @Kuala Linggi, Melaka Bakal Jadi Chatuchak Versi Malaysia!





Kalau melancong ke Bangkok, Thailand antara lokasi wajib singgah mestilah di Chatuchak Weekend Market iaitu salah satu pasar terbesar dan paling terkenal di dunia.

Tetapi tidak lama lagi, kita juga bakal memiliki Chatuchak versi Malaysia yang diberi nama "LuaSempit Weekend Market" bertempat di Kuala Linggi, Melaka dan dijangka mula beroperasi pada September tahun depan.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan di kawasan Malaysia Tourism City (MTC) yang dikendalikan oleh Meridian Berhad.

Menariknya, LuaSempit yang berkeluasan 100 ekar itu juga mempunyai tasik seluas 40 ekar, di mana di tengah-tengahnya akan dibina 'Pulau Buluh' atau Bamboo Island untuk aktiviti riadah para pengunjung, termasuk buaian seperti yang ada di Bali, Indonesia.

Pasar yang dibuka setiap hujung minggu itu dikenali sebagai LuaSempit kerana ia dibahagikan kepada kawasan 'Luas' yang akan menempatkan 1,500 kedai menjual makanan dan minuman.

Di kawasan itu terdapat 7 warna pelangi yang setiap satu warna melambangkan makanan atau juadah popular untuk semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Manakala di kawasan 'Sempit' bakal menempatkan juga 1,500 premis berhawa dingin yang menjual pelbagai barangan buatan Malaysia seperti baju, cenderamata, aksesori fesyen, seni kraftangan dan sebagainya.

Namun, dijamin tidak akan ada jenis barangan sama dijual di lebih 3 gerai di situ bagi mengelak suasana beli-belah yang sama seperti di Petaling Street atau pasar malam biasa.

Memahami trend anak-anak muda dan pelancong luar negara yang gemar bergambar cantik, LuaSempit juga bakal dilengkapi dengan lokasi-lokasi yang Instagrammable, tasik yang akan dihiasi pokok-pokok Sakura Malaysia berwarna pink, ladang lebah, taman burung dan ruang persembahan.

Lagi best, disebabkan LuaSempit ini mempunyai tasik yang besar ia juga akan mewujudkan pasar terapung  atau 'Floating Market' nya sendiri! 

Jadi kalau korang jalan-jalan di sana nanti dan nak rasa kelazatan kuih-muih tradisi Malaysia, tinggal beli saja daripada penjual-penjual di atas perahu yang menelusuri air tasik berkenaan.

Macam seronok, kan Chatuchak versi Malaysia ni! Tak payah dah kita terbang jauh-jauh sampai ke Bangkok nak shopping atau jalan-jalan cari makan.

Tinggal start je enjin kereta dan memandu dalam sejam setengah dah sampai dekat Kuala Linggi, Melaka!

Destination: 
;